KUALA LUMPUR: “Tak mengapalah kita sokong parti kita sekalipun tapi kita jaga rakyat, ini yang dilakukan. Berbeza dengan fitnah.”
Demikian penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyangkal dakwaan bahawa beliau mengetepikan dan tidak membantu negeri-negeri di bawah pemerintahan parti pembangkang.
Menurut beliau, empat negeri di bawah parti pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diberi peruntukan lebih berbanding tahun sebelum ini.
“Tahun ini kita bagi peruntukan lebih pada empat negeri tersebut. Projek tambahan tebatan banjir di Kelantan saya tambah satu lagi.
“Bukan sebab saya kasih kepada orang Kelantan, sebab Kelantan menghadapi masalah banjir jadi kita kena selamatkan rakyat di situ,” katanya semasa berucap di Majlis Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinci, di sini.
Pada majlis itu, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM200 kepada 300 asnaf dan fakir miskin di Parlimen Lembah Pantai.
Jumlah keseluruhan penerima sumbangan Nur Ramadan bagi kawasan Kuala Lumpur pada tahun ini adalah seramai 3,300 orang meliputi 11 Parlimen di sini yang terdiri daripada fakir miskin, al-gharimin, al-riqab, fisabillah, dan muallaf.
Sumbangan itu diagihkan secara berperingkat oleh pDewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan jumlah keseluruhan peruntukan bagi sumbangan Nur Ramadan di Kuala Lumpur adalah RM660,000.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau bukan membatalkan projek tebatan banjir, tetapi hanya rundingan secara terus tanpa tender kerana tak dapat tetapkan harga.
“Saya teruskan projek tebatan banjir kerana ia akan menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat. Tapi proses tender, bukan saya pilih. Pegawai-pegawai kita laksanakan tugas dengan telus, cari yang paling jimat, murah. Ini yang berlaku,” katanya. – UTUSAN