SERING melakonkan watak antagonis, Pelakon, Rita Nadira, 25, mengakui selesa meskipun sering dihujani tawaran untuk membawakan watak sedemikian rupa.
Katanya tidak timbul sekelumit rasa kecewa, malah dia tetap bersyukur apabila keberkesanan membawakan watak antagonis dihargai penonton.
“Jujurnya, saya lebih selesa melakonkan watak antagonis berbanding watak protagonis.
“Watak baik-baik agak kekok untuk saya bawakan kerana ia memerlukan masa untuk dapatkan penjiwaan.
“Jadi saya tidak pernah rasa kecewa apatah lagi merasakan diri sebagai mangsa stereotaip gara-gara sering ditawarkan watak yang sama,”katanya.
Kata Rita lagi, dia nampak kelainan dalam setiap watak antagonis yang dibawakannya. Justeru, dia gembira kerana berpeluang untuk mewarnakan setiap watak ‘gelap’ dengan caranya sendiri.
“Saya melihat setiap watak antagonis yang saya bawakan ada warna yang berlainan. Ia tidaklah sama.
“Sebelum ini saya lakonkan watak antagonis yang lebih bersifat psikotik. Dalam telefilem Saat Hilang Cintamu pula lebih kepada perempuan derhaka.
“Jadi saya tidak melihat ia sama, malah setiap daripadanya ada perbezaan yang nyata,” jelasnya.
TAK LAYAN SUAMI ORANG
Rita lebih awal meletakkan had terhadap hubungan dengan pelakon lelaki yang bergandingan dengannya.
Kata bintang telefilem Saat Hilang Cintamu ini, dia berpegang pada ketegasan untuk menutup serapat-rapatnya ruang fitnah dengan cara sendiri.
“Sekiranya dipasangkan dengan suami orang, awal lagi saya sudah layan mereka umpama abang sendiri. Itu cara saya, menepis godaan pelakon berstatus suami orang, kalau ianya berlaku.
“Mana-mana pelakon lelaki sekalipun, kami dipasangkan dan bercinta dalam drama, namun realitinya hubungan kami ibarat adik dan abang sahaja.
“Jadi kalau membabitkan saya, cinta lokasi itu tidak akan wujud sebab awal lagi saya ‘abangkan’ mereka,” katanya.
TIADA MASA BERCINTA, FOKUS KERJAYA
Dalam pada itu, Rita memaklumkan fokusnya buat masa ini terarah kepada kerjaya lakonan. Katanya, dia belum memikirkan soal memiliki teman istimewa, bahkan selesa menjalani hidup solo.
“Saya memang tak ada teman lelaki. Kepada mereka yang cuba mendekati, awal lagi saya ingatkan, tak boleh.
“Mak saya selalu nasihatkan, fokus pada kerjaya. Saya pernah ada teman lelaki sebelum ini, tapi hubungan kami tak dapat restu keluarga.
“Jadi sekarang, lebih baik saya ikut nasihat ibu. Kalau dia nasihatkan berkawan dahulu, saya ikut sahaja. Saya pun selesa dengan keadaan sekarang, hanya fokus kerja semata-mata,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Rita mendedahkan sebelum ini pernah diminta sebuah syarikat produksi untuk menimbulkan gimik percintaan bagi melariskan drama lakonannya. Namun tindakan itu berakhir sia-sia.
“Ia tidak menjadi. Jadi, buat apa nak adakan gimik?
“Secara peribadi, saya rasa keserasian antara pelakon wujud sendirinya tanpa perlu gimik percintaan.
“Sebagai contoh, tanpa perlu cetuskan apa-apa gimik untuk menjayakan telefilem Saat Hilang Cintamu, Saya dan Zamarul Hisham tetap serasi sepanjang membawakan watak kami dalam cerita ini,” jelasnya.