Sabit, hukuman Najib tidak terkesan

Meskipun hakim bicara melanggar kod etika, sabit dan hukuman Najib tidak terkesan

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sabitan dan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah lebih RM42 juta dana milik SRC International tidak terkesan meskipun hakim bicara didapati melanggar kod etika.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Fahmi Abd. Moin berkata, isu etika dibangkitkan pasukan pembelaan Najib sebelum ini telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan sekali gus tidak menjejaskan status sabitan dan hukuman ke atas bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Malah katanya, kes berkenaan tidak perlu lagi dibicarakan semula kerana Mahkamah Persekutuan telah memutuskannya secara mutlak.

“Berdasarkan daripada laporan dan surat cadangan daripada menteri undang-undang, ada menyatakan tentang dapatan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu pelanggaran tersebut.

“Namun bagi saya, keputusan semakan kes SRC baru-baru ini telah jelas menolak isu dibangkitkan pasukan pembelaan berhubung etika Hakim Datuk Mohd. Nazlan. Oleh itu ia tidak menjejaskan keputusan kes SRC manakala sabitan dan hukuman ke atas Datuk Seri Najib adalah kekal,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan agar Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dikenakan tindakan tatatertib di bawah Kod Ketika Hakim 2009.

Perkara itu ekoran tular sepucuk surat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said kepada pasukan pembelaan Najib yang mengesahkan bahawa Hakim Mohd. Nazlan telah melanggar kod etika sebagai seorang hakim.

Sebelum ini, tersebar dalam media sosial tangkap layar surat dikatakan laporan daripada SPRM mengenai dakwaan salah laku hakim perbicaraan oleh Hakim Nazlan, iaitu beberapa hari selepas keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Najib.

Surat itu menyatakan kesalahan didakwa di bawah Kod Etika Hakim 2009 berlaku apabila Hakim Nazlan yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi mengetuai perbicaraan Najib atas tuduhan rasuah membabitkan dana milik SRC International.

Siasatan itu timbul selepas dakwaan dibuat berhubung jumlah wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya yang didakwa dikaitkan dengan 1MDB, dana pelaburan kerajaan yang menjadi pusat skandal kewangan membabitkan berbilion ringgit.

Ditanya bentuk tindakan boleh dikenakan terhadap hakim berkenaan, Fahmi berkata, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tun Mat telah menyatakan bahawa siasatan SPRM tersebut tidak boleh diterima pakai kerana seseorang hakim perlu disiasat melalui satu tribunal khas.

“Selain itu, Tengku Maimun telah menjelaskan tiada siasatan lanjut perlu dibuat terhadap Hakim Nazlan,” katanya.

Sebaliknya beliau berpandangan, laporan SPRM itu akan menyebabkan kegusaran rakyat terhadap sistem kehakiman kerana wujud konflik antara badan Eksekutif dan Kehakiman yang mana menteri mempunyai pendapat berlainan dan secara terang terangan menyatakan wujud isu konflik berkepentingan serta pelanggaran kod etika hakim dalam perbicaraan kes tersebut.

Bagi Pakar Undang-Undang, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod pula menjelaskan, sama ada wujud atau tidak pelanggaran dan konflik tersebut, perkara itu hendaklah dirujuk kepada sebuah jawatan kuasa etika hakim terlebih dahulu.

Katanya, sebarang hukuman terhadap hakim bicara hendaklah diputuskan oleh jawatan kuasa berkenaan.

“Kalau wujud pelanggaran kod etika dan konflik itu serius telah menggugat keadilan seorang hakim, maka ia hendaklah diatasi dengan hakim mengundurkan diri daripada sesuatu kes.

“Sama ada wujud atau tidak pelanggaran dan konflik tersebut, ia hendaklah dirujuk kepada jawatan kuasa etika terlebih dahulu. Ini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib dan bukan diputuskan oleh SPRM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN