Rumah Terbuka PM di tiga negeri Pas

Rumah Terbuka PM di tiga negeri Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Rumah Terbuka Malaysia Madani akan diadakan di Kedah, Kelantan dan Terengganu sempena Aidilfitri selepas buat pertama kalinya sambutan tersebut tidak diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mengadakan rumah terbuka seperti kebiasaannya tetapi akan bersama-sama hadir ke majlis itu di tiga negeri tersebut.

Menurut JPM, majlis tersebut akan dianjurkan oleh jabatan itu sendiri iaitu melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku penyelaras utama.

“Pelaksanaan program adalah dengan kerjasama kerajaan negeri selaku tuan rumah selain  kementerian peneraju turut dilantik bagi membantu pelaksanaan program.

“Program ini akan dihadiri oleh Perdana Menteri sebagai tetamu jemputan utama bagi menyantuni pelbagai lapisan rakyat yang akan berkunjung ke majlis berkenaan. Menteri Besar atau Ketua Menteri juga akan dijemput selain ahli jemaah menteri Persekutuan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

JPM turut memaklumkan bahawa program tersebut yang akan berlangsung di Kedah akan diangkat sebagai program bertaraf nasional kerana sasaran jumlah pengunjung hadir berbanding dua negeri lain.

“Jumlah kehadiran pengunjung disasarkan di Kedah adalah seramai 25,000 orang. Manakala, sasaran di negeri-negeri lain pula adalah seramai 15,000 orang di setiap lokasi,” katanya.

Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kedah akan diadakan pada 29 April ini (Sabtu) bertempat di Hotel Raja, Alor Setar bermula dari 10 pagi sehingga 2 petang dengan kementerian Dalam Negeri sebagai Kementerian peneraju.

Program sama di Kelantan akan berlangsung pada 12 Mei (Sabtu) bertempat di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, bermula pada 7 petang sehingga 10.30 malam dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebagai kementerian peneraju.

Bagi lokasi terakhir berlansungnya majlis tersebut iaitu di Terengganu akan diadakan pada 13 Mei (Ahad) bertempat di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) juga bermula pada 7 malam sehingga 10.30 malam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan bertindak sebagai kementerian peneraju.

Sementara itu, majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri masing-masing, namun tetap dihadiri oleh Perdana Menteri seperti mana tiga negeri lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN