KOTA TINGGI: Seorang wanita di Kampung Bukit Raja di sini yang kerap terjatuh tidak menyangka dia sebenarnya mengalami masalah saraf dan kini terlantar serta tidak boleh berjalan sejak tiga tahun lalu.
Rohayu Mohd. Taib, 47, berkata, suaminya, Aidi Ali, 51, mengupah orang untuk menguruskan dirinya ketika keluar bekerja sebagai seorang pemandu.
“Saya sudah banyak kali terjatuh, kali terakhir boleh berjalan sendiri tiga tahun lepas sebelum terjatuh di ruang tamu. Saya dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan ditahan wad selama 12 hari.
“Ketika dirawat doktor mencadangkan saya dibedah untuk masukkan skru di bahagian pinggang namun kosnya amat tinggi sehingga RM20,000 dan doktor juga maklumkan risiko untuk pulih hanya 50 peratus.
“Saya tidak lakukan pembedahan kerana tiada wang sebanyak itu dan pulang ke rumah meneruskan rawatan fisio serta secara tradisional. Doktor juga menyarankan saya memohon kad orang kurang upaya (OKU) untuk cacat kekal dan sehingga kini saya hanya mampu terbaring,” katanya.
Rohayu adalah salah seorang daripada 50 penerima sumbangan duit raya daripada Enproserve (M) Sdn. Bhd. yang merupakan salah satu kontraktor utama di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) sempena Program Ziarah Kasih, semalam.
Ziarah berkenaan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin dan Pengarah Urusan Enproserve (M) Sdn. Bhd., Azman Yusof sebelum disusuli program berbuka puasa bersama penduduk yang dianjurkan syarikat berkenaan dengan kerjasama Surau Al Jamaliah.
Dalam pada itu, Rohayu berkata, dia sangat terharu dengan sumbangan diberikan yang membantunya untuk perbelanjaan harian. – UTUSAN










