PETALING JAYA: Harga tiket penerbangan terus kelas ekonomi dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah sebanyak RM3,138 satu hala sangat mengecewakan rakyat, kata bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan bagaimana rakyat dalam kalangan B40 dan M40 yang menggunakan khidmat penerbangan mahu pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Bagaimana keluarga B40 dan M40 khususnya warga Tawau di perantauan pulang beraya pada tahun ini?,” soalnya.
Ka Siong berkata, syarikat penerbangan seharusnya berpada-pada dengan tidak meletakkan tambang terlalu tinggi sehingga membebankan rakyat pada musim perayaan.
“Jangan sampai seluruh rakyat membuat andaian bahawa syarikat penerbangan tertentu dilihat mengeksploitasikan keadaan dengan mengaut keuntungan tinggi sehingga semua kerugian yang ditanggung semasa Covid-19 mahu dipulihkan dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Katanya, beliau menjangkakan jawapan ‘standard’ kerajaan dalam isu itu adalah “dasar kerajaan tidak mengawal tambang penerbangan kerana mekanisme penetapan harga dinamik.
“Apa pun, tak kira zaman siapa memerintah, acap kali Kementerian Pengangkutan menjawab sebegitu, rakyat sukar menerima jawapan standard tersebut.
“Sekali lagi ditegaskan bahawa pada masa ini bukan waktu berlakunya pandemik Covid-19, sektor penerbangan beransur pulih, kebanyakan pesawat tidak lagi didaratkan ‘grounded’ seperti waktu pandemik.
“Syarikat penerbangan tiada alasan untuk tidak menambah frekuensi selagi ada kemampuan dan tiada lagi sekatan ‘passengers load’ sebanyak 50 peratus sewaktu Covid-19 yang memberi justifikasi harga tambang penerbangan melonjak tinggi,” katanya. – UTUSAN










