Rakyat diminta berjaga-jaga sepanjang kemarau

Rakyat diminta berjaga-jaga sepanjang kemarau

AHMAD Yakob mengambil hidangan ketika melawat gerai-gerai dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meminta semua pihak sentiasa berjaga-jaga dan tidak terlalu terdedah kepada cuaca panas melampau yang melanda seluruh negara sepanjang musim kemarau ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, suhu panas yang terlalu tinggi pada ketika ini bukan hanya berlaku di Kelantan dan seluruh negara, malah turut berlaku di seluruh Asia dan dunia.

“Kita belum pernah berdepan dengan situasi sebegini sebelum ini dan kerana itu kita minta semua pihak berhati-hati dan sentiasa mengambi langkah berjaga-jaga di sepanjang musim kemarau kali ini.

“Kita perlu mempunyai kesedaran bahawa strok haba ini merupakan sesuatu yang berbahaya. Jadi penting bagi semua pihak memberikan kerjasama termasuk sekolah, anak-anak, keluarga, ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Dua hari lalu Utusan Malaysia melaporkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun maut selepas terkena serangan strok haba dalam kejadian di Kampung Perupok, Bachok pada Selasa.

Mangsa, Muhammad Syamil Aqil yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik menghembuskan nafas pada pukul 9.27 pagi ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Wanie berkata, mengikut laporan bedah siasat mangsa meninggal dunia akibat strok haba dan dehidrasi dengan buah serta jantungnya hangus akibat serangan itu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, keputusan memanjangkan cuti persekolahan berikutan cuaca panas luar biasa terletak kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kita rasa tidak perlu sampai ke tahap itu kerana risau ia akan menjejaskan pendidikan anak-anak berikutan musim kemarau akan berlarutan sehingga Ogos nanti. Kita perlu ambil kira semua aspek dengan meletakkan kepentingan ilmu, pelajaran dan keselamatan sebagai keutamaan.

“Kerajaan negeri juga sentiasa menyediakan bekalan air bergerak kepada rakyat di negeri ini. Malah kita telah menambah lagi stok air terutama di sepanjang musim kemarau ini untuk dihantar dari rumah ke rumah,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya