KUALA LUMPUR: Dua minggu lalu, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin enggan untuk bertemu dengan suaminya, Syamsul Yusof namun segalanya berubah semalam (Ahad).
Bermula dengan berbuka puasa dengan ahli keluarga, pasangan itu kemudiannya duduk berbincang dengan disaksikan ahli keluarga yang hadir.
Hasilnya, pasangan itu akhirnya sepakat untuk meleraikan perkahwinan mereka secara baik. Malah, kedua-duanya juga telah memberikan kata sepakat berkenaan isu-isu berkaitan cerai seperti hadanah (hak penjagaan anak), nafkah anak-anak, mutaah dan idah serta harta sepencarian.
Syamsul juga bersetuju untuk menarik balik tuntutan nusyuz terhadap Sarah manakala wanita itu juga bersetuju untuk tidak memfailkan nusyuz terhadap bapa kepada dua anaknya itu.
Ketika ditanya siapa yang mengambil inisiatif untuk berjumpa dan menyelesaikan kemelut yang menghantui rumah tangga mereka, Sarah memberitahu ia dimulakan oleh Syamsul.
“Syamsul yang mulakan. Jadi Sarah fikir, mungkin (pertemuan) kali ini akan menyelesaikan segalanya. Kami jumpa di rumah, semua ada, saksi-saksi ada.
“Kami berbincang, masa tu saksi-saksi pun ada. Semuanya berjalan dengan lancar sangat dan lepas ni dah tak perlu pening-pening lagi.
“Kami lakukannya (capai kata sepakat) demi anak-anak. Kita nak hidup di mana kami tidak bermusuh atau berdendam. Sarah pun nak tenang, Sarah inginkan ketenangan,” katanya.
Sementara itu, Syamsul ketika ditemui selepas tamat prosiding turut mengucapkan rasa syukur.
“Alhamdulilah, mudah-mudahan berkat bulan puasa, harap diselesaikan dengan baik. Mungkin doa-doa dari insan-insan tersayang, syukur Alhamdulillah, doakan yang terbaik.
“Saya telah berbincang cara baik dengan Puteri Sarah, kami memikirkan masa depan kami berdua, dia dan juga anak-anak. Alhamdulillah, syukur,” katanya.
Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan ibunya, Datin Patimah Ismail, Syamsul hanya meminta orang ramai untuk ‘doakan yang baik’ berulang kali sebelum meninggalkan mahkamah. – UTUSAN










