Princess jadi puteri bila pakai baju kurung - Utusan Malaysia

Princess jadi puteri bila pakai baju kurung

Princess dipakaikan baju peplum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali dipakaikan baju raya, perwatakan si comel yang digelar Princess ini berubah menjadi sangat sopan-santun umpama seorang puteri.Malah, magis baju raya turut membuatkan kucing baka Persian flat face itu lebih tertib ketika tetamu dan ahli keluarga datang berkunjung ke rumah pada Aidilfitri.

Menurut pemiliknya, Arma Mohd. Faizal Abu Bakar, Princess atau nama manjanya Cincess, seolah-olah tahu mengenai sambutan Syawal yang diraikan itu sebaik sahaja dipakaikan baju raya pada hari pertama lebaran.

Arma Mohd. Faizal Abu Bakar bersama kucingnya pada hari pertama Aidilfitri baru-baru ini di kediamannya di Dungun, Terengganu.

Katanya, ragam si comel berusia tujuh tahun itu melaram baju raya mencuit hatinya dan keluarga kerana bukan sekadar berperwatakan puteri raja, malah turut menggayakan pakaian di hadapan ‘rakan-rakan’ kucing lain.

“Apabila nampak kucing jalanan di luar rumah dari pintu cermin, Princess seperti menunjuk baju rayanya,” katanya.

Arma yang berkhidmat sebagai pensyarah kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu berkata, tradisi baju raya sedondon dengan haiwan kesayangannya itu, mula diamalkan sejak enam tahun lalu.

LAPAN HELAI BAJU RAYA

Hingga kini kucing betina itu memiliki sebanyak lapan helai baju raya yang terdiri daripada pelbagai potongan, termasuk gaun, baju kurung dan peplum.

Baju berkenaan berharga antara RM60 hingga 100 sehelai.

“Baju raya pertama Princess ialah gaun putih pemberian rakan baik saya dan sejak itu, saya mula membelikannya sehelai pakaian yang sedondon dengan kami sekeluarga.

“Sebelum ini tidak banyak pilihan pakaian raya buat haiwan peliharaan, jadi saya terpaksa membeli baju bayi berusia antara satu ke dua tahun untuk Princess,” katanya.

Menurut Arma, selain baju sedondon, aktiviti wajib buat Princess sempena Hari Raya Aidilfitri adalah ke pusat dandanan.

Sementara itu, menceritakan permulaannya memelihara haiwan tersebut, kata Arma, Princess merupakan kucing kakaknya, Arma Eliza yang tinggal di Selayang, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, diserahkan kepadanya untuk dijaga sejak 2016 ketika berusia lima bulan hingga kini.

Dalam pada itu, katanya, Princess sangat tertib apabila keluarga dan tetamu datang ke rumah, malah suka menyibuk membuka apa-apa bungkusan atau hadiah kiriman kawan-kawan serta pengikutnya di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya