KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan jumlah pungutan zakat fitrah pada tahun ini sebanyak RM13.8 juta berbanding RM13.75 juta yang dipungut tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, setakat ini pihaknya masih belum mendapat menentukan jumlah sebenar zakat fitrah yang sudah diperoleh PPZ-MAIWP memandangkan terdapat pelbagai kaedah bayaran zakat disediakan.
Jelasnya, pihaknya melantik seramai 921 orang amil di seluruh Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya serta Labuan untuk membuat pungutan zakat fitrah dan jumlah sebenar pungutan hanya boleh ditentukan selepas 1 Syawal.
“Bagaimanapun, berdasarkan jumlah pungutan zakat fitrah melalui pembayaran dalam talian yang ditawarkan kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan, kita sudah mengumpulkan sebanyak RM1.8 juta setakat hari ini,” katanya pada sidang akhbar pelancaran ujian rintis kutipan zakat menggunakan sistem ‘Tap on phone’, di sini hari ini.
Pada majlis pelancaran itu, PPZ-MAIWP dengan kerjasama Fass Payment Solutions Sdn. Bhd. memperkenalkan sistem pungutan zakat yang pertama di dunia dengan menggunakan sistem Software-based Point of Sale (SoftPOS).

Dengan menggunakan teknologi tersebut, pembayar zakat kini boleh menggunakan teknologi ‘Tap on Phone’ atau sentuh pada telefon yang membolehkan peranti Android dengan kapasiti Near-Field Communication (NFC) untuk menerima pembayaran secara selamat dan mudah.
Abdul Hakim berkata, pihaknya yakin dengan pengenalan kaedah terbaharu itu akan dapat membantu pihaknya mencapai sasaran yang diletakkan menjelang 1 Syawal tidak lama lagi.
“Kami percaya boleh mencapai sasaran tersebut dengan pelbagai kaedah ditawarkan kepada pembayar zakat dan populasi penduduk di Wilayah Persekutuan yang sedia ada,” katanya.
Mengulas mengenai sistem terbaharu yang diperkenalkan itu, beliau berkata, buat masa ini terdapat tiga lokasi yang dipilih untuk menggunakan teknologi tersebut iaitu di Ibu Pejabat PPZ-MAIWP, Masjid Al-Syakirin di Menara Berkembar Kuala Lumpur dan Jalan Masjid India.
Jelasnya, lokasi tersebut dipilih atas faktor bilangan pengunjung celik teknologi yang mencari kemudahan lain dalam menyempurnakan pembayaran zakat.
“Lanjutan daripada ujian rintis ini, PPZ-MAIWP menjangkakan pelancaran Fasstap versi penuh untuk memudahkan pembayaran zakat harta seperti zakat pendapatan, zakat emas, zakat simpanan dan lain-lain.
“Fasspay juga akan membangunkan ekosistem yang lebih mesra zakat bagi membolehkan butiran penting pembayar zakat direkodkan sepenuhnya sebelum resit rasmi zakat dicetak secara digital sebelum dihantar menerusi emel bagi tujuan rekod dan pengecualian cukai,” katanya. – UTUSAN