Satu lagi kapal misi ke Gaza diserang dron di perairan Tunisia - Utusan Malaysia

Satu lagi kapal misi ke Gaza diserang dron di perairan Tunisia

TANGKAP layar video memaparkan sebuah kapal misi Sumud Nusantara yang dilaporkan terbakar selepas diserang dron di perairan Tunisia. - IHSAN/RAHMAT SUMUD NUSANTARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUNIS: Satu lagi kapal dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza menjadi sasaran serangan dron buat kali kedua ketika berada di perairan Tunisia, mencetuskan kebimbangan serius terhadap keselamatan konvoi tersebut.

Insiden terbaharu itu berlaku pada Rabu, melibatkan satu daripada bot dalam konvoi yang dinaiki aktivis Musa Nuwayri bersama dua lagi rakannya, Iylia Balqis dan Sul Aidil.

Menurut Musa, serangan tersebut menyebabkan kebakaran kecil di atas bot mereka namun berjaya dikawal segera.

“Alhamdulillah, api berjaya dipadamkan dan tiada kecederaan dilaporkan,” kata Musa menerusi satu kenyataan.

Aktivis dan wartawan Yusuf Omar yang turut menyertai misi flotilla itu melaporkan di media sosial serangan kali ini berlaku tidak lama selepas satu insiden serupa dilaporkan di pelabuhan Tunisia sehari sebelumnya.

“Sebuah kapal lagi telah terkena. Malam kedua, serangan dron kedua,” katanya dalam satu hantaran.

Menurut Yusuf, kapal berkenaan terbakar di bahagian dek atas, namun sekali lagi tiada kecederaan dilaporkan.

Misi Global Sumud Flotilla kini dalam pelayaran untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang sedang bergelut dengan krisis kemanusiaan akibat sekatan berterusan dan serangan berulang dari rejim Israel. Konvoi itu membawa bekalan asas, ubat-ubatan dan aktivis dari pelbagai negara.

Semalam, sebuah kapal utama dalam konvoi tersebut yang berdaftar di bawah bendera Portugal dan membawa jawatankuasa pemandu misi dilaporkan mengalami kerosakan teruk selepas didakwa diserang oleh dron di pelabuhan Sidi Bou Said, Tunisia.

Kebakaran berlaku di dek utama dan ruang simpanan bawah, namun kesemua enam penumpang dan anak kapal disahkan selamat oleh pihak GSF.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri Tunisia menafikan bahawa serangan berlaku dan menyatakan kebakaran itu berpunca daripada masalah teknikal dalaman kapal.

Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas dua insiden serangan dron tersebut. Namun, tindakan itu telah meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan konvoi, yang membawa harapan besar kepada rakyat Gaza yang memerlukan bantuan antarabangsa.

GSF dalam kenyataan terbarunya menyatakan misi tetap akan diteruskan, dan para aktivis tidak akan tunduk kepada sebarang usaha sabotaj.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN