Polis siasat rakaman video lelaki pegang dua objek tepi jalan - Utusan Malaysia

Polis siasat rakaman video lelaki pegang dua objek tepi jalan

TANGKAP layar daripada video menunjukkan seorang lelaki berdiri di tepi jalan sambil memegang dua batang kayu untuk menghalau sekumpulan penunggang motosikal di Kilometer 157, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berdekatan lampu isyarat Geliga, Kemaman, Terengganu.  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Polis melakukan siasatan berhubung rakaman sebuah video seorang lelaki yang bertindak memegang dua objek dipercayai kayu di tepi jalan gara-gara tidak berpuas hati dengan sekumpulan penunggang motosikal di Kilometer 157, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berdekatan lampu isyarat Geliga, d sini. 

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, video berdurasi 0.26 saat dikesan tular di aplikasi Tiktok sejak petang semalam. 

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.45 petang pada Sabtu di Kilometer 157 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berdekatan lampu isyarat Geliga. 

“Kita juga sedang mengesan semua pihak yang terlibat dalam kejadian tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam video tersebut, seorang lelaki dilihat berdiri di tepi jalan dengan memegang dua batang kayu untuk menghalau penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut. 

Hanyan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. 

Tegas Hanyan, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya. 

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan melaporkan kepada pihak polis sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini supaya tindakan dapat diambil segera,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya