KUALA PILAH: Seorang petani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah di sini semalam atas tuduhan memberi pinjaman wang tanpa lesen kepada pembalak di daerah Jempol, dua tahun lalu.
Hoe Kian Lim, 52, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, antara 16 September 2020 hingga 18 April 2021 di Ladang Geddes, Jempol, tertuduh menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang lelaki warga emas berjumlah RM474,000.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muhammad Amirul dalam hujahannya meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang wang jaminan dan sekiranya dibenarkan, pihak pendakwaan memohon satu jumlah yang tinggi, selain syarat tambahan.
Menurutnya, ini berikutan tertuduh bersama dua lelaki lain datang ke rumah peminjam pada hari perayaan Tahun Baharu Cina yang lalu untuk membuat kacau ganggu jika peminjam tidak membuat pembayaran.
Norma kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000.
Tarikh 3 Mei ini ditetapkan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN