REMBAU: Seorang pesakit kanser tahap empat memohon bantuan orang ramai bagi menampung perbelanjaan harian termasuk kos perubatan dan rawatannya.
Mohd. Hadip Ramli, 54, berkata, wang simpanannya semasa bekerja sebelum ini sudah habis digunakan malah sudah hampir setahun dia tidak dapat bekerja atas faktor kesihatan.
Menurutnya, dia mengetahui menghidap penyakit kanser pangkal hidung kira-kira tiga tahun lalu ketika bekerja di Johor selepas menyedari terdapat bengkak di bahagian telinga hingga ke lehernya dan semakin membesar.
“Sejak setahun lalu, kesihatan saya semakin terjejas dan pulang ke kampung halaman menumpang di rumah adik perempuan, Rosliza Ramli, 52.
“Merekalah yang banyak membantu menguruskan keperluan saya termasuk menghantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban serta Institut Kanser Negara (IKN),” katanya ketika ditemui di Kampung Batu Hampar, di sini semalam.
Jelasnya, dia terpaksa memohon bantuan memandangkan keperluan ubat-ubatan, lampin pakai buang serta susu khas mencecah RM500 sebulan.
“Bagi menjimatkan susu khas yang agak mahal iaitu lebih RM90 bagi saiz kecil, saya mengurangkan keperluannya. Susu khas ini penting bagi membolehkan saya menjalani rawatan kemoterapi.
“Buat masa ini saya memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan masih menunggu respons positif daripada jabatan berkenaan,” katanya yang mengalami kesukaran untuk bertutur dengan jelas, membuka mulut untuk makan serta menelan makanan.
Mana-mana pihak yang mahu membantu dan menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya di akaun bank CIMB bernombor 7039845583 atas nama Mohd. Hadip Ramli. – UTUSAN