Perkhidmatan RORO alternatif penumpang ke Langkawi

Perkhidmatan RORO alternatif penumpang ke Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Perkhidmatan feri roll-on roll-off (RORO) yang boleh membawa kenderaan dan penumpang dari laluan Kuala Kedah ke Langkawi dijangka mula beroperasi hujung bulan ini sebagai alternatif kepada penduduk dan pelancong berkunjung ke pulau pelancongan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Kedah, Datuk Azman Nasrudin berkata, buat masa ini pihak syarikat yang dilantik sedang dalam proses membina platform dan tempat laluan kenderaan masuk ke feri RORO.

Katanya, dengan adanya perkhidmatan RORO berkenaan, feri tersebut dianggarkan boleh memuatkan sehingga 200 penumpang dalam satu-satu masa sekali gus membantu mengatasi masalah kekerapan trip feri penumpang ke Langkawi.

“Ini adalah salah satu inisiatif pihak kerajaan negeri dan Jabatan Laut untuk memberi alternatif kepada pengguna dan penumpang feri ke Pulau Langkawi dan sebaliknya.

“Perkhidmatan ini juga dapat menampung dan menyelesaikan isu kekerapan perkhidmatan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi dengan adanya pilihan kepada pengguna dan penumpang untuk menggunakan perkhidmatan RORO sebagai alternatif ke Pulau Langkawi,” katanya di sini, semalam.

Perkhidmatan RORO yang membawa penumpang dan kenderaan buat masa ini hanya ditawarkan bagi laluan Kuala Perlis-Langkawi-Kuala Perlis melibatkan beberapa syarikat feri dan kargo.

Isu perkhidmatan feri Langkawi sering menjadi perhatian sejak kebelakangan ini berikutan pelbagai masalah termasuk air pasang surut, kerosakan enjin dan sebagainya sehingga mendapat perhatian Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mahu pihak berkaitan memikirkan langkah penyelesaian ekoran kemerosotan dari segi kekerapan jadual.

Ditanya perkembangan naik taraf Jeti Penumpang Kuala Kedah, Azman memberitahu, maklumat daripada Jabatan Laut yang merupakan agensi penyelaras mendapati projek tersebut ditender semula selewat-lewatnya pada bulan ini.

“Maklum balas ini diterima daripada Kementerian Pengangkutan dan bagi kerajaan negeri, projek naik taraf Jeti Kuala Kedah adalah keutamaan kepada kita kerana projek ini sudah lama dirancang dan perlu dilaksanakan segera demi keselesaan penumpang feri dari Kuala Kedah ke Langkawi.

“Malah, dengan menaik taraf fasiliti ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat dan menjadikan Kuala Kedah sebagai pintu masuk utama ke Pulau Langkawi,” katanya.

Menurut beliau, ketika ini operator feri di Kuala Kedah juga dapat memenuhi obligasi minimum mereka untuk menyediakan jadual perjalanan sebanyak lima trip sehala setiap hari setelah kerja-kerja pengerukan siap sepenuhnya akhir tahun lalu.

“Jadual perjalanan atau trip mencukupi telah diberikan kepada operator sedia ada dengan mengambil kira keupayaan terminal penumpang menerima kemasukan feri dalam satu-satu masa serta keupayaan ruang menunggu di dalam terminal untuk menampung kemasukan penumpang sebelum dialirkan ke dalam feri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×