PETALING JAYA: Semua 47 penjara dan pusat koreksional di seluruh negara menampung 72,000 banduan walaupun berkapasiti 62,000 orang, sekali gus menyebabkan kesesakan teruk di kemudahan berkenaan.
Penjara Kajang dan Penjara Sungai Buloh di Selangor didakwa berhadapan kesesakan terburuk apabila menempatkan 6,000 banduan, hampir dua kali ganda daripada kapasiti 3,500 orang di setiap penjara itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Penempatan dan Pemulihan Penjara (Pemaaf), Mohd. Shahirul Khalid Mohamad bekata, secara keseluruhannya, 47 pusat tahanan di negara ini berkapasiti menampung 62,000 banduan tetapi kini angka itu meningkat hingga 72,000.
Menurutnya, data-data dan maklumat tersebut diperoleh melalui lawatan Pemaaf ke penjara-penjara selain aduan serta makluman daripada para pegawai penjara.
Menurut beliau, perkara itu juga menyebabkan penjara perlu menampung kos sekitar RM44 sehari untuk makan dan minuman seorang banduan selain belum termasuk kos tambahan seperti ubat serta rawatan perubatan.
“Ini bermakna penjara dan pusat koreksional mempunyai lebihan 10,000 banduan. Sesebuah penjara itu boleh menampung kira-kira 3,000 banduan. Ada penjara menampung jumlah banduan dua kali ganda daripada sepatutnya,” kata beliau yang terlibat secara langsung dalam menguruskan banduan khususnya dalam penempatan kerja selepas tamat tempoh hukuman.
Terdahulu, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, kerajaan ketika itu bersedia mewujudkan penjara swasta bagi mengatasi masalah kesesakan di penjara seluruh Malaysia.
Sistem penjara swasta juga merupakan sistem yang sudah dilaksanakan sekian lama oleh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia, kerajaan mereka perlu membayar caj secara harian atau bulanan mengikut banduan dan fasiliti penjara.
Malah baru-baru ini, dalam senarai aturan urusan mesyuarat, sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, Senator Datuk Seri Zurainah Musa meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan bilangan banduan yang kini ditahan dalam penjara mengikut kesalahan jenayah pada lima tahun yang lepas dan berapakah kos pembiayaan yang ditanggung oleh kerajaan serta adakah kerajaan boleh mempertimbang penswastaan penjara untuk mengurangkan kos.
Mohd. Shahirul berkata, jumlah kemasukan pesalah ke penjara juga dilaporkan meningkat menyebabkan mereka terpaksa hidup berhimpit dalam sel atau pusat tahanan kerana menampung jumlah banduan berganda.
“Di penjara Kajang sahaja akan menerima lebih 100 banduan setiap minggu. Rata-ratanya kerana aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperluaskan program sedia ada iaitu banduan dibenarkan untuk bersama komuniti atau Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).
Jelasnya, kerajaan juga boleh melakukan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menempatkan bekas pesalah dan memulihkan mereka daripada terlibat kembali dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang.
“Apa saya cadangkan sebelum ini adalah kita gunakan tapak bekas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) iaitu sekitar 62 di seluruh negara diberikan kepada NGO untuk menguruskan penempatan banduan
“Seperti minggu lepas sebanyak 90 pesalah dilepaskan, kami sehingga tidak tahu untuk letak di mana kerana kekurangan tempat penempatan. Selepas mereka keluar daripada penjara, Pemaaf yang uruskan jadi sesak di tempat kami pula,” jelasnya.
Mengulas mengenai cadangan mewujudkan penjara swasta, Mohd Shahirul berkata, ia juga akan menelan kos kerana penjara akan berubah menjadi sebuah bentuk ‘perniagaan’.
“Jadi siapakah akan membayar kos-kos yang perlu ditanggung oleh banduan-banduan di penjara swasta?
“Kebaikan sistem penjara swasta kita tak nafikan untuk yang memang mampu untuk membayar kos sepanjang menjalani hukuman di sana tetapi bagaimana pula dengan banduan yang tidak mampu,” katanya. – UTUSAN










