Peniaga bazar Ramadan catat untung 10 hari pertama - Utusan Malaysia

Peniaga bazar Ramadan catat untung 10 hari pertama

Bazar Ramadan
SALAHUDDIN Ayub menunjukkan salah satu Menu Rahmah, piza mini dan nasi arab pada Walkabout Bazar Ramadan Dataran Eco Grandeur Park, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN /  SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Sebanyak 70 peratus daripada 1,148 peniaga bazar Ramadan di seluruh negara yang menyertai kajian oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyatakan mendapat keuntungan dalam tempoh 10 hari gerai dibuka.

Malah, daripada jumlah peniaga itu, 65 peratus daripada mereka memberitahu sudah pun mendapat keuntungan daripada perniagaan tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kajian tersebut dilakukan kementeriannya selepas wujud kebimbangan ekoran dakwaan peniaga bazar Ramadan pada tahun ini dikatakan tidak mendapat sambutan.

“Walaupun saya anggap  kajian ini mungkin tidak menyeluruh, tetapi paling tidak dapat memberikan satu gambaran awal, secara purata dalam tempoh 10 hari, terdapat kira-kira 70 peratus secara umumnya peniaga mengatakan dapat sambutan.

“Cuma ada penurunan sedikit dari segi keuntungan dan pelanggan dan keuntungan yang mereka dakwa,” katanya dalam sidang akhbar hari ini selepas menyertai Walkabout Bazar Ramadan Dataran Eco Grandeur Park di Puncak Alam.

Di sana, terdapat 41 peniaga membuka gerai dan lapan daripada mereka menawarkan Menu Rahmah dengan pelbagai jenis makanan dan minuman. Sebanyak 38 lokasi di seluruh negara melaksanakan Bazar Ramadan Rahmah (BRR), empat daripadanya terletak di Selangor iaitu di Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Bukit Sentosa.

Dalam pada itu, Salahuddin memaklumkan untuk mengadakan libat urus dengan lebih banyak pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya kadar sewa tapak bazar dapat dikurangkan pada masa hadapan.

“Maka dengan itu saya membaca laporan tersebut secara umum dan memang terdapat beberapa saranan antaranya adalah harapan peniaga supaya menurunkan kadar sewa tapak.

“Kerana bagi saya, dalam tempoh lima tahun walaupun pandemik Covid-19 sudah berakhir, kos sara hidup masih menjadi isu kepada rakyat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sehingga kini tiada peniaga bazar Ramadan dikenakan tindakan di bawah anti pencatutan walaupun banyak kes pernah dilaporkan berkaitan sikap peniaga menjual makanan dan minuman pada harga tinggi dan tidak berkualiti.

“Saya rasa belum ada lagi, tetapi ada aduan. Cuma saya sudah berikan arahan kepada pihak penguat kuasa supaya mengambil pendekatan nasihat dahulu iaitu tindakan ringan dengan memberi teguran.

“Jika kesalahan itu dilakukan berulang-ulang, terpaksalah kita mengambil tindakan. Cuma tindakan di bawah Akta Harga Kawalan dan  Anti Pencatutan 2011 itu tiada, ada sekali kita dengar nasi ayam berempah RM15, itu tular dan KPDN mengambil tindakan cari peniaga itu, tetapi esoknya dia sudah tidak buka gerai lagi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya