KUALA SELANGOR: Polis mengesahkan bungkusan kanvas yang ditemukan terdampar oleh orang awam dekat tebing batu Pulau Angsa, Jeram di sini, kelmarin merupakan mayat seorang lelaki sudah reput.
Mangsa disyaki sebagai mangsa bunuh selepas keadaan mayat yang dibungkus menggunakan kanvas dan diikat dengan tali.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor menerima panggilan daripada orang awam sedang memancing di kawasan tebing pulau itu yang memaklumkan penemuan bungkusan berkenaan.
“Pengadu memaklumkan semasa sedang memancing di kawasan tebing batu, menjumpai satu bungkusan besar berikat dengan tali yang berbau busuk terdampar di tebing batu.
“Pemeriksaan lanjut oleh Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bungkusan tersebut adalah mayat sudah reput dibungkus dengan kanvas dan diikat dengan tali,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, susulan bedah siasat oleh Unit Forensik Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) Universiti Teknologi Mara (UiTM), identiti mayat itu dikenal pasti sebagai seorang lelaki.
“Bagaimanapun, butiran lanjut mangsa belum dapat dikenal pasti,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintendan, Khairul Hisyam Shamsuddin di talian 03-3289 1222.
Baru-baru ini, tular video memaparkan sekumpulan pemancing di Pulau Angsa mendakwa menemukan bungkusan berbentuk tubuh manusia dalam keadaan berbau busuk dan terdampar di tebing batu. – UTUSAN










