Penduduk tuntut janji taman tepi laut - Utusan Malaysia

Penduduk tuntut janji taman tepi laut

PENDUDUK di dua kondominium mewah di Tanjung Bungah, Pulau Pinang menuntut janji oleh kerajaan negeri pada 2010 untuk menyediakan sebuah taman di tepi laut untuk kemudahan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

GEORGE TOWN: Hampir 1,000 penduduk di dua kondominium mewah di Tanjung Bungah di sini menuntut janji oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 2010 untuk menyediakan sebuah taman di tepi laut bagi kemudahan mereka.

Pengerusi kondominium One Tanjong, Oo Hui Ying berkata, taman itu dijanjikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, Lim Guan Eng, malah beliau sendiri yang merasmikan pelancaran taman tepi laut berkenaan sebulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ketika merasmikan pelancaran taman tepi laut ini, penduduk dijanjikan ia akan berfungsi sebagai taman awam yang berkeluasan 0.8 hektar serta mempunyai akses laluan ke pantai berserta pentas konkrit terbuka.

“Dalam ucapannya, Guan Eng memaklumkan taman tersebut akan siap pada Disember 2018, namun sehingga kini, taman tersebut tidak disediakan kepada penghuni dan penduduk kawasan ini,” katanya ketika ditemui di One Tanjong, di sini hari ini.

Menurutnya, selain taman tepi laut, penduduk juga dijanjikan dengan pembangunan marina di atas tanah negeri dan tanah tebus guna seluas 8.09 hektar di kawasan berkenaan oleh pihak pemaju.

“Nampaknya pembangunan marina ini juga tidak dilaksanakan sehingga kini, malah mengikut maklumat yang kami terima satu lagi pembangunan iaitu apartment akan dilaksanakan berhampiran dengan tempat tinggal kami.

“Kawasan sedia ada yang khusus untuk pembangunan taman tepi pantai serta marina yang dijanjikan ini sudah pasti terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, MS Chong, 60, berkata, dia dan suaminya memilih untuk menetap di kawasan berkenaan empat tahun lalu kerana pemaju menjanjikan sebuah taman tepi pantai dan marina kepada penduduk.

”Saya dan suami mahu menikmati kehidupan selepas pencen di sini, namun apabila dimaklumkan akan ada satu lagi pembangunan apratment di depan kondominum ini kami bimbang kerana mungkin taman tepi laut yang dijanjikan tidak akan disediakan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari ketika diminta mengulas mengenai isu itu berkata, pihak pemaju telah diarahkan membina taman tepi pantai itu sebelum melaksanakan apa-apa pembangunan di kawasan berkenaan.

”Pemaju mengemukakan rancangan untuk melakukan pembangunan berskala rendah di kawasan ini, jadi sebelum mereka membinanya, pemaju dikehendaki membina taman tepi laut seperti yang dijanjikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya