PETALING JAYA: Keputusan jemaah menteri untuk mendedahkan laporan akhir nahas Sabah Air pada 6 Jun 1976 yang mengorbankan pemimpin-pemimpin utama negeri Sabah pada masa itu akan menamatkan sebarang spekulasi yang pernah wujud.
Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Azis Jamman memuji tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menghentikan persepsi umum berkaitan tragedi tersebut.
“Tragedi itu masih terpahat dalam ingatan ramai rakyat Sabah yang sejak itu tertanya-tanya punca kejadian kemalangan.
“Persoalan dan spekulasi biasanya timbul setiap tahun apabila upacara memperingati mereka yang terkorban diadakan di tapak kejadian di Sembulan.
“Ia akan menamatkan segala persoalan dan spekulasi mengenai kemalangan yang menyebabkan kematian 11 orang termasuk Ketua Menteri, Tun Fuad Stephens pada 6 Jun 1976,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Perdana Menteri, laporan itu akan dikeluarkan sepenuhnya selewat-lewatnya minggu hadapan.
Ia dituntut oleh rakyat Sabah sejak 47 tahun lalu. Jelas Anwar, orang awam terutamanya rakyat Sabah dan waris mangsa berhak untuk mengetahui perincian laporan nahas itu, yang tidak wajar lagi diklasifikasikan di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.
Jemaah menteri bersetuju untuk mengambil langkah tersebut walaupun selepas mengambil kira beberapa komplikasi yang mungkin timbul, antaranya dari segi perundangan.
Dalam kenyataan sama Azis mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana membuat keputusan itu.
“Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk mendedahkan laporan penuh tragedi ‘Double Six’ yang mengorbankan nyawa lima Kabinet Sabah 47 tahun lalu adalah satu langkah yang baik.
“Pengumuman Perdana Menteri adalah sesuatu yang dialu-alukan oleh ramai rakyat Sabah setelah sekian lama menunggu laporan mengenai nahas udara itu.
“Parti Warisan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang bersetuju untuk mendedahkan laporan penuh tragedi ‘Double Six’ dan sekali gus mengatasi kebimbangan rakyat Sabah,” jelasnya. – UTUSAN