Pembangunan tersusun di muara Kuala Terengganu City Centre - Utusan Malaysia

Pembangunan tersusun di muara Kuala Terengganu City Centre

AHMAD Samsuri Mokhtar (kanan) menunjukkan dokumen Pelan Tindakan Khas Muara KTCC pada majlis penyerahan pelan tindakan itu kepada tujuh agensi teknikal di Kuala Terengganu,  hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Semua projek pembangunan yang bakal dilaksanakan di kawasan muara Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di sini perlu merujuk kepada pelan tindakan khas yang ditetapkan kerajaan negeri supaya berada dalam keadaan lebih tersusun selepas ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelan tindakan khas itu memperincikan garis panduan reka bentuk bandar dan landskap untuk menjadi rujukan pihak pelabur atau syarikat swasta yang berminat membuat projek pembangunan di kawasan tersebut.

Menurutnya, tindakan tersebut penting untuk menggalakkan pembangunan yang sinergi, mampan dan berdaya huni di kawasan seluas 255 hektar  itu.

“Melalui pelan tindakan itu, kita telah perhalusi susun aturnya, malah ketinggian bangunan juga akan dikawal agar tidak menenggelamkan keindahan Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

“Apa juga yang nak dibangunkan selepas ini, perlu mengambil kira segmen yang telah ditetapkan iaitu tiga presint utama melibatkan pusat perdagangan, warisan dan budaya serta hiburan dan riadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Pelan Tindakan Khas Muara KTCC kepada tujuh agensi teknikal di Wisma Darul Iman di sini,  hari ini.

Tujuh agensi yang terlibat ialah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).

Lokasi muara KTCC itu terletak dalam dua sempadan daerah iaitu Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dengan sasaran pembangunan sebagai pusat pelaburan berimpak tinggi, seterusnya mewujudkan sebuah perbandaran pesisir air yang dilengkapi elemen bandar pintar.

Ditanya sama ada kerajaan negeri turut akan melabur di kawasan tersebut pula, Ahmad Samsuri memberitahu, keutamaan akan diberi kepada syarikat-syarikat swasta terlebih dahulu kerana faktor kos kewangan yang tinggi bagi tujuan tersebut.

“Kalau ada, mungkin anak syarikat seperti Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan LTAWNT yang akan bekerjasama membangunkan projek di situ,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya