MARAN: Pesanan seorang ibu supaya anak sulungnya menjaga adik-adik disusuli pelukan erat seolah-olah tanda perpisahan terakhir mereka kira-kira 39 tahun lalu.
Pesanan itu kekal terpahat dalam ingatan Nasharuddin Mohd. Elwan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5,30 petang itu, dia hilang lima ahli keluarga selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas.
Nasharuddin, 62, berkata, ketika itu dia berusia 23 tahun dan masih mengingati setiap detik perjalanan keluarganya yang baru pulang dari Bagan Datuk, Perak selepas menziarahi saudara-mara bagi meminjam wang sebagai modal memulakan perniagaan di kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 10.
Katanya, dua hari sebelum kejadian, sembilan ahli keluarganya ke Bagan Datuk bagi membuat pinjaman itu.
“Saya tidak ikut sebab tidak dapat cuti. Dalam perjalanan pulang, mereka singgah di Sungai Besar, Selangor, iaitu rumah keluarga bapa, Mohd. Helwan Salleh, sebelum meneruskan perjalanan ke Felda Jengka.
“Setibanya di Lentang, Bentong, mereka berhenti berehat dan mandi-manda di kawasan air terjun berhampiran.
“Itulah mandi terakhir bagi lima daripada mereka sebelum terbabit dalam nahas beberapa jam kemudian. Ketika tiba di atas Jambatan Sungai Gau di Temerloh yang sempit kira-kira pukul 5.30 petang, kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah bas ekspres dari arah Kuantan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Kemalangan tragis itu meragut nyawa ibu Nasharuddin iaitu Siti Rohinah Mohd. Ali bersama tiga adik-beradiknya, Nasrullah, Shamsul Azali dan Norhaniza serta seorang sepupu, Zainal Abidin Abdul Jalil.
Bapanya, Mohd. Helwan Salleh bersama tiga lagi adiknya, Siti Hawa, Norshahida dan Mohd. Helmi cedera parah.
Bercerita lanjut kejadian menyayat hati itu, Nasharuddin berkata, bayi berusia enam bulan tercampak keluar dari kenderaan ketika kemalangan namun dapat diselamatkan.
“Saya masih ingat sampai kini pesanan ibu ketika mereka dalam perjalanan ke Bagan Datuk supaya saya menjaga adik-adik. Ketika itu kami berpelukan seolah-olah menjadi tanda perpisahan terakhir, walaupun kami tidak pernah menyangka perkara buruk berlaku,” katanya.
Menurutnya, walaupun hampir 39 tahun berlalu, kenangan tragedi tersebut masih segar dalam ingatannya dan ahli keluarga yang terselamat.
“Setiap kali menjelang Ramadan dan Aidilfitri, ahli keluarga berkumpul mengadakan bacaan tahlil di Felda Jengka, Bagan Datuk dan Sungai Besar bagi memperingati mereka yang telah pergi. Kenangan hari itu tidak pernah hilang daripada ingatan kami sekeluarga,” katanya. – UTUSAN










