Pemandu lori bebas daripada ‘tirai besi’ sebak sambut Aidilfitri

Pemandu lori bebas ‘tirai besi’ sebak sambut Aidilfitri

SYAH (kiri) sebak selepas tangannya dikucup oleh isteri sebaik sahaja dibebaskan menerusi Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani 'Kepulangan Yang Dinanti di Pusat Koreksional Machang, Kelantan.-UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Seorang bekas pemandu lori yang dibebaskan menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani ‘Kepulangan Yang Dinanti’ selepas dipenjara selama 10 bulan sebak kerana dapat kembali menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Syah, 46, bukan nama sebenar menyifatkan pembebasan itu sebagai hadiah cukup bermakna kerana kembali berpeluang berpuasa dan menyambut lebaran bersama isteri dan anak perempuannya berusia empat bulan.

Menurutnya, mengikut hukuman yang dijatuhkan dia akan dibebaskan pada Mei ini.

“Saya sepatutnya menyambut Aidilfitri dalam ‘tirai besi’ kerana tempoh hukuman yang dikenakan belum cukup,” katanya kepada pemberita selepas Majlis PBSL di Pusat Koreksional Machang di sini, semalam.

Syah memberitahu, dia ditahan bersama sebiji pil kuda yang dibeli rakannya untuk kegunaan sendiri bagi menambah tenaga ketika memandu lori membawa muatan batu kuari.

Katanya, dia mula menagih pil kuda sejak berusia 28 tahun dan ini kali pertama dicekup oleh polis dengan menjalani hukuman selama 10 bulan selepas gagal membayar denda.

“Saya dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2),” ujarnya.

Sementara itu, isteri Syah, 42, ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana suaminya antara 25 banduan yang dipilih untuk dibebaskan hari ini dan berharap tidak mengulangi kesilapan tersebut.

“Dengan kepulangan suami, saya akan membuat persiapan secara sederhana termasuk membeli baju raya kuih muih untuk menyambut Aidilfitri,” ujarnya.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN