PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan kes jenayah dan tindakan dalaman terhadap seorang anggotanya yang ditahan terlibat pengedaran mercun.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kes yang dilaporkan telah diambil tindakan di mana anggota polis itu ditahan bersama seorang lelaki.
Beliau turut menafikan anggotanya mendalangi kegiatan penyeludupan mercun seperti yang digambarkan dalam satu laporan akhbar hari ini.
“Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari sehingga 8 April (Sabtu) bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Selain siasatan jenayah, PDRM juga akan mengambil tindakan dalaman ke atas suspek (anggota polis) yang didapati menyalahgunakan kenderaan pasukan di luar waktu bertugas bagi menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Acryl Sani berkata, pihaknya tidak pernah berkompromi dengan mana-mana warga polis yang terlibat dengan kegiatan jenayah.
Katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya menerima sebarang bukti.
Jelasnya, PDRM juga mengalu-alukan masyarakat untuk menyalurkan maklumat sahih bagi membolehkan tindakan diambil dalam membanteras sebarang salah laku atau aktiviti menyalahi undang-undang.
Difahamkan, anggota terbabit ditahan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Wakaf Bata, Machang, Kelantan ketika memandu kenderaan pacuan empat roda milik PDRM, Selasa lalu. – UTUSAN