Op Khas Pagar Laut sempena Aidilfitri dilancar - Utusan Malaysia

Op Khas Pagar Laut sempena Aidilfitri dilancar

SAIFUL LIZAN Ibrahim ketika melancarkan Op Khas Pagar Laut di perairan Batu Maung, Pulau Pinang hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan semula Op Khas Pagar Laut di seluruh perairan Malaysia bermula esok sehingga 30 April ini.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, operasi itu akan diadakan dua minggu sebelum dan dua minggu selepas perayaan Aidilfitri.

Katanya, operasi yang dilaksanakan sejak tahun 2016 bertujuan mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Penjenayah mungkin beranggapan penguatkuasaan undang-undang di musim perayaan agak longgar kerana sebahagian besar petugas keselamatan bercuti bagi merayakan Aidilfitri.

“Waktu inilah mereka akan ambil kesempatan melakukan aktiviti jenayah seperti membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan kontraband serta barang-barang kawalan, pencerobohan serta lain-lain jenayah melalui jalan laut.

“Sehubungan itu, seramai 800 pegawai dan anggota penguat kuasa akan ditugaskan dan dilengkapi 45 buah aset bagi melaksanakan rutin rondaan di kawasan perairan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Op Khas Pagar Laut di perairan Batu Maung, di sini hari ini.

Tambah Saiful Lizan, pihaknya turut bersedia menggerakkan aset bagi melaksanakan tugas mencari dan menyelamat sekiranya berlaku insiden kapal atau bot yang dalam perjalanan membawa penumpang asing dari negara ini pulang ke kampung halaman.

“Kita akan memperketatkan kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya