MYSaveFood diperluaskan ke pasar malam selepas Aidilfitri

MYSaveFood diperluaskan ke pasar malam selepas Aidilfitri

FUZIAH Salleh meninjau para peniaga selepas merasmikan Kempen MYSaveFood di BRR Bandar Baru Merlimau, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Kempen Menyelamatkan Pembaziran Makanan (MYSaveFood) sepanjang Ramadan akan diperluaskan ke pasar malam seluruh negara selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, kejayaan program berkenaan di bazar-bazar Ramadan telah mengurangkan pembaziran makanan.

“Saya turun padang melihat sendiri kejayaan MYSaveFood yang dikendalikan sepenuhnya oleh
Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) di Bazar Ramadan Rahmah (BRR). Inisiatif ini amat berjaya dan kita sudah ada prosedur operasi standard (SOP) dan tool kit, jadi selepas ini kita akan perluaskan ke pasar malam.

“Ini akan melibatkan kerjasama persatuan-persatuan peniaga dan kita ada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) di bawah kementerian yang boleh manfaatkan makanan berlebihan daripada pasar malam dikumpulkan dan diagihkan kepada golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen MYSaveFood di BRR Bandar Baru Merlimau di sini, semalam.

Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), pada tahun ini dianggarkan sejumlah 75,000 tan sisa makanan terbazir jika tiada tindakan diambil untuk menyelamatkan makanan tersebut.

Data itu diperoleh daripada jangkaan peningkatan 15 peratus pada bulan Ramadan yang mencatatkan 19,228 tan sisa makanan dibuang setiap hari di seluruh negara.

Tambah Fuziah, terkini sejumlah 19.84 tan makanan telah diselamatkan melalui penglibatan 1,227 sukarelawan dalam menjayakan program MySaveFood di 43 lokasi bazar Ramadan seluruh negara.

Menurutnya, pihaknya juga bekerjasama dengan beberapa hotel terpilih untuk menyelamatkan makanan yang tidak disentuh dengan memanjangkan jangka hayat makanan tersebut melalui proses retort. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN