Mudir pusat tahfiz cabul pelajarnya didakwa

Mudir pusat tahfiz cabul pelajarnya didakwa

110423-Klt-Mahkamah Cabul-Done Online- TERTUDUH diiringi polis semasa hadir untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang mudir dari sebuah pusat tahfiz khas untuk etnik Rohingya didakwa atas pertuduhan mencabul pelajarnya yang merupakan seorang kanak-kanak lelaki pada awal bulan ini di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Abu Toyub Umor Abbas, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga merupakan etnik Rohingya didakwa dengan maksud seksual telah mencabul seorang kanak-kanak lelaki etnik sama berusia 11 tahun tiga bulan.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di dalam bilik di sebuah pusat tahfiz khas untuk etnik Rohingya di Kampung Patek Talang, Kadok dekat sini kira-kira pukul 3 pagi pada 1 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, Rozihan Othman.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh merupakan seorang warga asing yang mencari suaka atau tempat berlindung di negara ini.

“Meskipun memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tertuduh didapati memasuki negara ini secara haram selain tiada sebarang rekod keluar dan masuk selepas berada di sini.

“Jadi, kemungkinan besar tertuduh boleh melarikan diri atau mengganggu kanak-kanak itu selepas mengambil kira hubungannya dengan mangsa adalah guru dan pelajar,” katanya.

Sementara itu, Rozihan dalam rayuannya memohon ikat jamin kerana jaminan hanya untuk menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Selain itu, tertuduh yang sudah membuka pusat tahfiz di Kadok sejak lima tahun lalu itu juga perlu menyara seorang isteri dan seorang anak.

“Sekiranya tertuduh melarikan diri, wang ikat jamin yang dibayar masih selamat di dalam jaminan pihak mahkamah. Jadi, saya pohon satu jaminan dibenarkan kepada tertuduh,” katanya.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 17 Mei depan untuk sebutan semula kes dan lantikan jurubahasa etnik Rohingya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya