PETALING JAYA: Pelakon Wanita Terbaik Oscars, Tan Sri Michelle Yeoh dijadualkan menemui peminat di negara ini pada pukul 4 petang, 18 April di Pavilion Kuala Lumpur.
Michelle yang merupakan pelakon kelahiran Malaysia merangkul anugerah berprestij Oscars Kali Ke-95 yang berlangsung di Dolby Theatre, Hollywood, California, Mac lalu.
Kemenangan itu dinilai berdasarkan lakonan hebat Michelle menerusi filem Everything Everywhere All At Once sekali gus mengangkat beliau sebagai wanita Asia pertama yang meraih trofi berprestij tersebut.
Michelle, 60, merupakan wanita Asia pertama yang dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik sekali gus melakar sejarah baharu dalam industri perfileman antarabangsa.
Bintang yang dilahirkan di Ipoh, Perak itu juga merupakan wanita Asia pertama yang dicalonkan bagi kategori tersebut sekali gus melakar sejarah baharu dalam industri perfileman antarabangsa.
Michelle mendedikasikan kemenangan paling manis kepada ibunya, Datin Janet Yeoh yang sentiasa disebut sebagai tulang belakang di sebalik kejayaan dirinya.
“Saya akan bawa pulang trofi ini kepada ibu saya yang menonton anugerah ini di Kuala Lumpur bersama seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan.
“Kejayaan ini adalah tunjang harapan dan sebagai bukti kita boleh sentiasa bermimpi dengan impian yang besar, kerana mimpi juga akan menjadi kenyataan,” katanya semasa diberi peluang menyampaikan ucapan selepas meraih trofi tersebut, bulan lalu.