Mercun, bunga api kurang laku

Mercun, bunga api kurang laku

AMIR Zulkifli menjual mercun dan bunga api di bazar Ramadan Teluk Pulai, Klang, Selangor. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kebenaran penjualan mercun dan bunga api oleh kerajaan menjelang musim perayaan menyebabkan jualannya merudum apabila berlaku lambakan peniaga di sekitar daerah ini.

Malah, ada peniaga menyifatkan jualannya hampir tidak laku selepas wujud persaingan besar berikutan ramai menggunakan kebenaran itu sebagai peluang meraih pendapatan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan Utusan Malaysia di bazar Ramadan sekitar daerah ini mendapati, ramai peniaga mengeluh jualan mereka perlahan dan stok bunga api serta mercun masih banyak walaupun rakyat Malaysia menyambut hari raya minggu depan.

Seorang peniaga, Amir Zulkifli, 23, berkata, sejak membuka gerai pada awal Ramadan, dia hanya dapat menjual barangan terkawal itu secara purata kira-kira 10 kotak sehari.

“Memang jualan sangat perlahan, tetapi saya berharap jualan meningkat menjelang seminggu sebelum Aidilfitri. Setakat ini, mercun yang paling banyak dibeli adalah jenis Thunder Clap,” katanya semalam.

Situasi sama turut dirasai oleh seorang lagi peniaga, Wan Kamarul Wan Kamal, 33, yang berpandangan ramai orang menjual mercun dan bunga api menyebabkan bahan bakar itu mudah didapati di kebanyakan tempat.

“Saya jual mercun pada harga sekitar RM18 hingga RM55 bergantung kepada jenis dan kuantiti mercun. Harap dalam beberapa hari terakhir Ramadan ini ramai yang beli mercun kerana kerajaan pun dah benarkannya,” luahnya.

Utusan Malaysia pada Februari lalu melaporkan peniaga dibenarkan menjual mercun dan bunga api dengan mematuhi syarat dan garis panduan yang ditetapkan.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nur Alia Muhammad, 30, berkata, risiko bahaya yang mendatangkan kecederaan menyebabkan dia dan keluarga enggan membeli mercun dan bunga api. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×