DUNGUN: Wanita yang mati dipercayai dibunuh kejam suaminya di Kampung Besol, Bukit Besi di sini, tidak sempat membelikan pakaian raya dengan tema warna biru untuk anak-anaknya bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Anak keduanya daripada tujuh beradik, Muhammad Danish Hakim Mohd. Radzi, 15, berkata, menjadi kebiasaan ibunya, Rubiah Sabtu, 41, menyediakan pakaian dengan warna sedondon untuk adik-beradiknya sejak mereka kecil untuk menyambut perayaan itu.
“Setiap tahun, kalau raya kami pakai baju dengan warna yang sama sebab Mama mahu kami kelihatan kemas dan bergaya.
“Beberapa minggu lalu, Mama sempat tanya kami, nak pakai baju raya warna apa tahun ini? Mama beritahu warna biru pun cantik. Namun, mama tak sempat nak belikan baju raya untuk kami. Allah lebih sayangkan mama,” katanya ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di Taman Rakyat, di sini semalam.
Muhammad Danish Hakim berkata, dia dan adik beradiknya akan meraikan hari raya tanpa ibunya secara bersederhana tahun ini.
“Kami tak kisah tak dapat baju raya sedondon seperti sebelum ini sebab raya kami dah tak sama macam dahulu (tanpa ibu). Sekarang kami hanya dapat beraya di kubur Mama,” katanya.
Selain itu, Muhammad Danish Hakim memberitahu, dia dan abangnya, Muhammad Daniel, 18, akan tinggal bersama bapa kandungnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Bukit Besi, sementara empat adiknya, iaitu Nur Daniela Danissya,11, Muhammad Adam Darwisy,9, Muhammad Danial Naufal dan Muhammad Dani Lutfi,5, dijaga nenek dan ibu saudara mereka di Tangga Batu, Melaka.
“Walaupun terpisah sementara, hubungan kami tidak akan putus sebab kami memang rapat dengan nenek dan ibu saudara sebelah ayah,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi pada Rabu lalu, Rubiah maut selepas dipercayai dihentak dengan tukul besi oleh suami yang baharu dikahwininya setahun lalu.
Rubiah turut meninggalkan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Kaira Damia berusia tiga bulan, hasil perkahwinan dengan suspek. – UTUSAN










