PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan sebentar tadi membatalkan permohonan dua penganut Kristian dari Sabah untuk mengembalikan saman terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap penganut agama itu.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Harminder Singh Dhaliwal sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati permohonan untuk mengembalikan semua saman itu dibuat tanpa mengikut aturan.
Panel terbabit tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Hadir pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian ialah peguam, R. Kengadharan yang mewakili Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian manakala Abdul Hadi diwakili peguam, Yusfarizal Yussof.
Pada 9 Disember 2020, Maklin dan Lawrence selaku plaintif saman itu atas dakwaan bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Bertaraf Menteri tersebut telah mengeluarkan satu penyataan menghasut berhubung penganut atau mubaligh Kristian.
Mereka mendakwa Abdul Hadi telah membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap penganut Kristian dan mubaligh Kristian yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada 18 Januari 2016.
Terdahulu, Kengadharan mengakui bahawa notis permohonan plaintif tidak lengkap kerana tidak mempounyai cop pesuruhjaya sumpah dan memohon diberikan masa kerana pihaknya tidak dapat menghubungi plaintif untuk membetulkan keadaan tersebut.
Permohonan tersebut bagaimanapun dibantah oleh Yusfarizal atas alasan, pihak peguam plaintif mempunyai masa untuk berbuat demikian sejak Oktober 2022.
“Ini adalah keputusan kami dan keputusan kami adalah sebulat suara. Kami dapati Lampiran Satu tidak disokong oleh afidavit yang wajar dan mengikut aturan kerana ia tidak ditandatangani oleh Pesuruhjaya Sumpah.
“Oleh itu, tiada permohonan yang kompeten di hadapan kami. Oleh itu, Lampiran Satu dibatalkan dan kami tidak membuat sebarang perintah berhubung kos,”kata Hakim Mohamad Zabidin ketika membaca penghakiman ringkas panel.
Pada 7 Mei 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman tersebut dengan kos punitif berjumlah RM100,000 selepas mendapati tindakan tersebut adalah remeh dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Mahkamah Rayuan pada 16 Ogos 2022, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu atas alasan saman tersebut tidak boleh dipertahankan dan seharusnya dibatalkan.
Kedua-dua plaintif melalui saman pemula itu antara lain memohon pengisytiharan bahawa Abdul Hadi telah melakukan tindakan hasutan yang bertentangan dengan Seksyen 3 Akta Hasutan 1948.
Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa defendan tidak layak memegang sebarang jawatan dalam Kerajaan Malaysia termasuk suatu jawatan yang setara dengan jawatan menteri.
Ketika saman difailkan, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang telah dilantik sebagai utusan khas ke Timur Tengah, yang merupakan jawatan setaraf dengan menteri.- utusan