KETIKA institusi antarabangsa sekadar melihat, mengutuk dan tidak melakukan apa-apa, Flotila yang membawa peserta daripada pelbagai latar belakang dari seluruh dunia tampil memikul amanah kemanusiaan dengan matlamat menembusi sekatan laut Israel yang dikenakan sejak lebih 17 tahun lalu.
Flotila Sumud Global (GSF) yang mula berlepas dari Barcelona, Sepanyol pada akhir Ogos lalu hanyalah terdiri daripada kapal-kapal yang tidak bersenjata. Mereka membawa ubat-ubatan, makanan serta keperluan asas untuk disalurkan kepada rakyat Palestin yang sedang menghadapi pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan krisis kesihatan yang semakin meruncing akibat kepungan haram Israel. Nasib mereka sama ada berjaya atau sebaliknya amat sukar untuk diramal.
Dalam mengharungi misi ini mereka berdepan pelbagai cabaran seperti ribut di lautan, gangguan komunikasi, kerosakan teknikal pada bot, ledakan di laut dan serangan dron yang melepaskan objek meletup pada waktu malam.
Selain itu, amaran tegas Israel bahawa pihak mereka tidak akan membenarkan sebarang kapal menembusi sekatan laut ke Gaza dan menuduh Flotila mempunyai kaitan dengan pengganas merupakan antara cabaran dan tohmahan yang terpaksa dihadapi bagi menjayakan misi kali ini.
Bagaimanapun, umum mengetahui amaran dan tohmahan tersebut hanyalah bagi menarik perhatian untuk memesongkan pemahaman masyarakat global terhadap misi kemanusiaan itu. Bahkan pada masa yang sama ia bakal memudahkan Israel mengambil tindakan sewenangnya termasuk menyekat dan mungkin melakukan serangan ke atas konvoi GSF.
Serangan komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara di kawasan perairan antarabangsa di Laut Mediterranean pada 2010 yang mengorbankan sembilan aktivis menarik perhatian dunia dan masih segar di ingatan. Sedikit sebanyak ia menimbulkan kebimbangan ramai yang ancaman sedemikian boleh berulang pada misi kali ini.
Namun tindakan Sepanyol dan Itali yang menghulur bantuan ketenteraan bagi memastikan keselamatan warganya yang menyertai Flotila ini merupakan satu suntikan semangat yang perlu dicontohi negara kuasa-kuasa besar yang lain.
Tanpa langkah-langkah tegas, setiap seruan solidariti hanyalah sekadar jeritan kosong dan sandiwara yang tidak membawa sebarang makna kepada rakyat Palestin yang terus dihimpit kesengsaraan. Dunia Arab tidak boleh lagi selamanya bersembunyi di sebalik kecaman retorik dan kecaman diplomatik yang hanya bak melepaskan batuk di tangga.
Kerjasama strategik Mesir-Jordan yang merupakan pintu utama ke wilayah Gaza amat diperlukan dalam memberi laluan terhadap akses kemanusiaan. Kedua-dua buah negara ini harus memainkan peranan lebih kritikal dalam menangani isu ini. Gaza sudah kehabisan pilihan untuk terus bertahan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengesahkan keadaan kemanusiaan di Gaza mencapai tahap kebuluran ekstrem Ogos lalu. Justeru kehadiran konvoi GSF sememangnya tepat pada masanya. Kanak-kanak Gaza digambarkan terlalu lemah untuk menangis, manakala tubuh mereka hanya menunggu maut akibat kekurangan zat makanan. Dunia tidak boleh lagi hanya sekadar memerhati. GSF adalah cerminan kegagalan dunia Islam membantu rakyat Gaza.
Nasib ratusan sukarelawan dari seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia kini bergantung kepada tindak balas Israel dan usaha diplomatik antarabangsa yang bakal menentukan sama ada misi ini berjaya atau terhenti di separuh jalan.
Sokongan rakyat Malaysia terhadap Flotila ini ditagih bagi memberi semangat dan sebagai solidariti moral kepada warga yang terlibat dalam menjayakan misi kali ini.-UTUSAN
MOHD SALLEH OSMAN
Banting, Selangor










