Lelaki tabur paku tiada kaitan aktiviti tunda kereta - Utusan Malaysia

Lelaki tabur paku tiada kaitan aktiviti tunda kereta

MOHD. Yusri Hassan Basri (kiri) menunjukkan kenderaan yang dirampas dalam serbuan dadah di Pantai Remis Sabtu lalu pada sidang akhbar di IPK Perak, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menafikan dakwaan lelaki yang ditahan kerana menabur paku di atas jalan raya semasa memandu kereta di Pusing, Batu Gajah Jumaat lalu, mempunyai kaitan dengan aktiviti menunda kereta.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri sebaliknya berkata, lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai bertindak demikian kerana berada di bawah pengaruh dadah.

“Ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati positif dadah. Suspek juga bukan seorang mekanik dan tidak bersekongkol dengan mana-mana geng tarik kereta.

“Lelaki itu macam ‘psiko’ sikit, (mungkin) kerana dia berada di bawah pengaruh dadah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPK Perak di sini hari ini.

Suspek yang memandu kereta jenis Nissan Almera itu dikesan menabur paku di atas jalan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Ipoh-Lumut dekat Pusing, Batu Gajah.

Suspek ditangkap pada pukul 3 pagi Sabtu lalu di Changkat Larang, Lahat selepas lima jam video kejadian tular di media sosial Facebook.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau berkata, polis Perak merekodkan kutipan kompaun sebanyak RM1.83 juta hasil pembayaran saman pesalah trafik dalam tempoh 12 hari bermula 20 hingga 31 Mac lalu.

Katanya, diskaun saman trafik 60 peratus itu dilaksanakan sempena Sambutan Hari Polis ke-216 tahun ini.

“Jumlah kutipan itu meletakkan Perak sebagai negeri kedua memperoleh kutipan pembayaran kompaun tertinggi berbanding negeri lain.

“Manakala bagi daerah pula, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh merekodkan kutipan tertinggi sebanyak RM391,090 diikuti IPD Manjung berjumlah RM213,310 dan IPD Taiping sebanyak RM199,190,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya