PETALING JAYA: Dianggarkan lebih 50 peratus daripada 72,495 banduan yang sedang menjalani hukuman adalah atas kesalahan dadah kecil sekali gus menyumbang kesesakan dan peningkatan kos kerajaan untuk mengurus penghuni 46 penjara di seluruh negara.
Mereka meringkuk di penjara untuk tempoh tertentu setelah disabitkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Akta Dadah Berbahaya 1952 termasuk melibatkan dalam kalangan penagih yang mengambil bahan terlarang itu walaupun dalam kuantiti kecil.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Penempatan dan Pemulihan Penjara (Pemaaf), Mohd. Shahirul Khalid Mohamad berkata, perkara itu secara langsung menyumbang kesesakan penjara seluruh negara sehingga melebihi kapasiti asal sebanyak 62,000 banduan.
Beliau berkata, perkara itu sebenarnya dapat ditangani sekiranya pesalah kesalahan dadah kecil diberikan rawatan berbanding mengenakan hukuman penjara yang dilihat masih kurang berkesan untuk menangani masalah pengambilan dadah sejak dahulu.
Katanya, kebanyakan bekas pesalah dadah yang pernah menjalani hukuman mengulang perbuatan sama dan menyebabkan mereka kembali ke penjara.
“Kita tidak boleh lagi melihat masalah dadah sebagai satu hukuman semata-mata, sebaliknya perlu diberikan rawatan berkesan kerana ini melibatkan soal dalaman seseorang individu yang hendak diatasi dengan program pemulihan.
“Jika tidak bekas banduan dadah kembali menagih dan jika ditangkap, kemudian dikenakan hukuman penjara dan akhirnya isu kesesakan banduan sampai bila tidak akan selesai,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, akhbar ini melaporkan masalah kesesakan banduan dan bebanan kos RM109 juta yang ditanggung kerajaan dalam tempoh sebulan untuk menampung kos pengurusan keseluruhan penghuni membabitkan 47 penjara seluruh negara.
Ia melibatkan perbelanjaan RM50 sehari bagi seorang banduan atau RM3.6 juta sehari untuk jumlah 72,787 banduan merangkumi kos penyediaan peralatan, kemudahan, perubatan, makanan, kawalan keselamatan, pengiringan, emolumen kakitangan dan perkara lain berkaitan.

Justeru, Mohd. Shahirul berkata, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan untuk menggubal akta baharu Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) bagi mengurangkan bilangan penagih dadah di penjara dengan menempatkan mereka di institusi atau rawatan pemulihan komuniti.
Katanya, langkah itu memberi ruang kepada penagih dadah yang perlu mendapatkan rawatan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau rawatan pemulihan komuniti berbanding hukuman penjara.
“Kita ada AADK yang boleh berperanan memberi rawatan dadah bersekalikan dengan pengawasan agar mereka tidak kembali terjejak menagih dadah,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak 15 daripada setiap 100 banduan yang dibebaskan didapati memasuki penjara dalam tempoh tiga tahun berpunca daripada stigma masyarakat yang masih memandang serong dan tidak memberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.
Katanya, bekas banduan yang disisihkan keluarga dan rakan-rakan serta masyarakat sekeliling telah menyebabkan mereka mencari semula rakan-rakan lama yang pernah terjebak jenayah.
Beliau berpandangan sikap masyarakat yang menganaktirikan bekas banduan telah menyebabkan mengulangi perbuatan lama dan akhirnya mereka kembali ke penjara setelah didapati bersalah oleh mahkamah dan menyumbang kesesakan penjara. – UTUSAN










