TEMERLOH: Kementerian Pendidikan disaran menggunakan khidmat pesara guru sebagai ‘jalan pintas’ bagi menampung kekurangan tenaga pengajar dalam beberapa mata pelajaran teras di sekolah.
Ini berikutan isu kekurangan guru terus menghantui sistem pendidikan negara walaupun Kementerian Pendidikan melaksanakan pelbagai pendekatan berasaskan enrolmen pelajar atau murid.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Dr. Aripin Said berkata, berdasarkan laporan Kementerian Pendidikan, terdapat kekurangan tenaga guru membabitkan subjek antaranya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam.
Beliau berkata, walaupun negara mempunyai kira-kira 430,000 guru yang memberi perkhidmatan pendidikan kepada hampir 4.9 juta murid, masih wujud kelompangan membabitkan tenaga pengajar tersebut.
Katanya, berdasarkan nisbah guru dan murid, sepatutnya tidak berlaku kelompangan guru mengajar subjek tertentu di sekolah dan masalah itu perlu diatasi segera bagi memberi keadilan pendidikan kepada murid.
“Ramai pesara guru mempunyai kepakaran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Inggeris dan subjek lain yang sudah dibuktikan ketika berkhidmat.
“Jika Kementerian Pendidikan membuka peluang, usaha ini pasti mendapat sambutan daripada pesara guru yang ingin terus berbakti kerana tiada mahu bakat yang ada disia-siakan setelah bersara,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan berusaha menangani isu kekurangan guru dalam empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.
Aripin berkata, beliau percaya ramai pesara yang berminat menjadi guru kontrak bagi menyumbang kepakaran yang ada supaya ia ‘tidak hilang bersama usia tua’.
“Ramai pesara guru yang masih diberikan kesihatan baik dan cergas untuk kembali ke sekolah bagi menyumbang bakti dan kepakaran dimiliki untuk anak bangsa,” katanya. – UTUSAN










