KPT tidak akan bertindak sebagai polis universiti - Utusan Malaysia

KPT tidak akan bertindak sebagai polis universiti

MOHAMED KHALED Nordin ketika mengadakan lawatan kerja ke USM, Glugor, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan menjadi ‘polis universiti’ untuk mengawal mana-mana universiti termasuk dalam soal berkaitan aktiviti politik di kampus.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana matlamat KPT adalah untuk melahirkan graduan yang mempunyai kekuatan pemikiran dan tidak terlalu taksub kepada satu aliran pemikiran sahaja.

“Saya tekankan KPT tidak berminat untuk lakukan ‘educational policing’, kita kena faham perkara ini. Saya bukan polis yang mahu menjaga universiti.

“Kita mahu bangunkan kesarjanaan universiti, andainya di luar sudah situasi yang toksik, jadi kita bergantung kepada universiti untuk betulkan keadaan di luar,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kemungkinan untuk membenarkan penubuhan cawangan parti-parti politik di peringkat universiti.

Mengulas lanjut, Mohamad Khaled berkata, sebelum ini beliau tidak menyebut parti politik akan dibenarkan menubuhkan cawangan di universiti.

“Semasa perbahasan di Parlimen, mereka secara konsensus bersetuju bukan sesuatu yang wajar untuk benarkan parti politik wujud (di universiti).

“Memang cawangan parti politik tidak boleh wujud (di universiti), namun jika mereka mahu masuk (ahli politik) ke universiti, mesti mendapatkan kebenaran daripada pihak universiti.

“Mahu buat program pun boleh tetapi perlu kebenaran, garis panduan yang ditetapkan universiti pun perlu dipatuhi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, USM perlu mengkaji semula agenda APEX (Accelerated Program for Excellence) supaya universiti berkenaan dapat terus menjadi universiti perintis dalam mencapai kecemerlangan.

“USM ialah universiti yang mencapai agenda APEX yang pertama di negara ini dan tahun ini merupakan tahun ke-15 sebagai universiti APEX.

“Menerusi lawatan saya kali ini, saya meminta pihak universiti melihat semula agenda APEX ini kerana ia adalah penting bagi USM untuk menjadi perintis dalam soal mencapai kecemerlangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya