KPM nafi keluar arahan cetak kertas ujian di luar sekolah

Kementerian Pendidikan nafi keluar arahan cetak kertas ujian di luar sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mene­gaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan berkaitan percetakan kertas soalan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) oleh pihak luar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, KPM berkata, sebarang keputusan berkaitan perkara itu adalah di bawah pengurusan pihak sekolah yang berkenaan.

Menurutnya, dalam Garis Pan­duan Pengurusan Ujian Akhir Sesi Akademik yang disediakan KPM, pengurusan percetakan instrumen ujian akhir sesi akademik diletakkan di bawah peranan dan tanggungjawab sekolah.

“Bagaimanapun, bagi membantu meringankan beban pihak sekolah, Lembaga Peperiksaan (LP) turut membekalkan kertas A4 bagi tujuan percetakan kertas soalan.

“Namun, bantuan bekalan kertas A4 ini hanya diberikan untuk sesi akademik 2022/2023 sahaja,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Kesatuan Per­khidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mendakwa, sebanyak 20 peratus daripada kira-kira 2,000 sekolah menengah seluruh negara menanggung beban hutang selepas gagal menjelaskan bayaran percetakan UASA bagi sesi akademik 2022/2023 yang dicetak di luar sekolah.

Setiausaha Agungnya, Fouzi Singon berkata, kebanyakan se­kolah terpaksa menanggung hutang percetakan itu yang berjumlah antara RM2,000 hingga RM4,000.

Keadaan itu mengakibatkan pengurusan sekolah yang terbeban kini hanya boleh mengharapkan sumbangan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menampung beban berkenaan.

Mengulas lanjut, KPM menjelaskan, pihak sekolah diberikan autonomi dalam pentadbiran dan pengurusan UASA sebagai­mana pelaksanaan peperiksaan akhir tahun yang dilaksanakan sekolah setiap tahun.

Katanya, dalam pelaksana­an UASA itu, KPM melalui LP berperanan membantu pihak se­kolah dalam penyediaan instrumen dan panduan penskoran.

Bagaimanapun, katanya, se­gala urusan berkaitan per­ce­takan, pentadbiran dan pengoperasian ujian adalah di bawah tanggungjawab dan akauntabiliti pihak sekolah seperti biasa.

“Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, peperiksaan akhir tahun dilaksanakan di sekolah dan percetakan kertas diurus dan ditanggung pihak sekolah sendiri.

“UASA adalah ujian sumatif dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) pada peringkat sekolah dan pelaksanaannya adalah sa­ma seperti pelaksanaan pepe­riksaan akhir tahun yang dilaksanakan sekolah pada setiap tahun,” katanya.

Pelaksanaan UASA mula diperkenalkan pada sesi persekolahan 2022/2023 bagi memperkukuhkan PBD bagi tingkatan 1 hingga tingkatan 3 untuk sekolah menengah, manakala tahun 4 hingga tahun 6 untuk sekolah rendah.

PBD adalah antara komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkasakan berikutan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Format dan soalan ujian itu disediakan Kementerian Pendidikan dengan ia boleh dijana daripada sistem yang dibangunkan kementerian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN