Kerajaan komited bantu bangunkan industri tenaga boleh diperbaharui - Utusan Malaysia

Kerajaan komited bantu bangunkan industri tenaga boleh diperbaharui

AHMAD Maslan (kiri) melawat bilik kawalan Stesen Janakuasa Hidro Sungai Slim di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Kerajaan komited untuk membantu pembangunan dan perkembangan industri tenaga boleh diperbaharui melalui suntikan dana berjumlah RM5 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, suntikan dana sebanyak RM2 bilion melalui Bank Negara Malaysia (BNM) itu adalah bagi menyokong sektor tenaga hijau dan lestari termasuk pembiayaan projek atau ‘start-ups’ yang menggunakan teknologi hijau atau amalan rendah karbon.

Malah katanya, pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) juga ditambah baik dengan tambahan peruntukan RM3 bilion sehingga 2025.

“Bagi mencapai sasaran karbon sifar bersih ataupun ‘net-zero-emissions’ menjelang 2050, kita memerlukan usaha yang lebih proaktif dan berimpak tinggi dengan penyertaan lebih banyak sektor swasta seperti G Capital Berhad (GCAP) dan PHREC (Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn. Bhd.).

“Dengan segala kelebihan yang dibawa oleh tenaga boleh diperbaharui, negara kita perlu lebih proaktif dalam usaha kelestarian ini, dengan menyediakan lebih banyak peluang dan penyertaan daripada sektor swasta,” katanya ketika berucap sempena lawatan kerja ke Stesen Janakuasa Hidro Sungai Slim di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menurut beliau, projek pembangunan stesen janakuasa hidroelektrik bukan sahaja meningkatkan usaha untuk memelihara alam sekitar, malah menjana pendapatan tenaga hijau untuk negara.

Katanya, keseluruhan 300 Megawatt (MW) stesen-stesen janakuasa hidroelektrik di Perak dan Pahang dijangka menjana perolehan sebanyak RM12 bilion dalam tempoh 21 tahun Perjanjian Pembelian Kuasa Tenaga Boleh Diperbaharui (REPPA).

“Termasuk Stesen Janakuasa Hidro Sungai Slim ini, pihak GCAP dan kerajaan negeri melalui PHREC telah menjayakan operasi untuk tiga stesen janakuasa hidroelektrik di Perak dengan jumlah kapasiti 29MW.

“Konsesi ini dalam misi membangunkan 300MW stesen-stesen janakuasa hidroelektrik di Perak termasuk 113MW yang mana perjanjian pembelian REPPA telah diperbaharui dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB). GCAP juga mempunyai 26MW projek hidro kecil di Pahang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif GCAP, Datuk Yap Yee Ping dalam kenyataannya berkata, pihaknya merancang untuk memulakan empat projek stesen hidroelektrik berkapasiti 22 MW)
di Perak dan 26MW di Pahang dengan kadar segera menerusi Kelulusan Tarif Galakan (FiT).

Katanya, projek dengan nilai pelaburan berjumlah RM659.24 juta itu dijangka bakal menghasilkan pendapatan sebanyak RM1.44 bilion bermula dari tarikh operasi komersial. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya