Kapal tangki, bot tunda ditahan pindah minyak tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Kapal tangki, bot tunda ditahan pindah minyak tanpa kebenaran

SEBUAH kapal tangki serta bot tunda ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang semalam selepas didapati gagal memaklumkan Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak 'Ship to Ship' (STS).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Sebuah kapal tangki serta bot tunda (tug bot) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang semalam selepas didapati gagal memaklumkan Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak ‘Ship to Ship’ (STS).

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot Maritim Malaysia mengesan sebuah kapal tangki MT Mekar Jaya dan sebuah bot tunda YKP Karishma merapat antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Pertiwi, kira-kira pukul 2.10 petang semalam.

Katanya, kedua-dua bot itu dikesan pada kedudukan 0.29 kilometer timur perairan Persiaran Karpal Singh dekat sini.

”Hasil pemeriksaan, kapal tangki MT Mekar Jaya berbendera Malaysia dikendalikan lapan kru termasuk nakhoda iaitu tujuh warga Indonesia dan seorang warga tempatan.

”Bot tunda YKP Karishma berbendera Thailand pula dikendalikan enam kru termasuk nakhoda iaitu empat warga Indonesia dan dua warga Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua kru kapal tangki dan bot tunda itu yang berusia antara 26 hingga 51 tahun memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

”Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak Ship to Ship (STS).

”Nakhoda dan ketua jurutera kapal serta tug bot termasuk dokumen berkaitan telah dibawa ke Jeti Polis M arin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan sebarang aktiviti haram dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

”Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.