Jualan Rahmah: Lebih banyak barangan ditawar harga murah   - Utusan Malaysia

Jualan Rahmah: Lebih banyak barangan ditawar harga murah  

SALAHUDDIN Ayub (empat, kanan) meninjau harga minyak masak selepas merasmikan Program Jualan Rahmah di sebuah pasar raya di Jabi, Besut, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Kebanyakan pemain industri sektor peruncitan di negara ini  menawarkan penjimatan harga terhadap lebih banyak barangan keperluan pada harga lebih murah di bawah inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan kerajaan sejak Disember tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihak peruncit didapati proaktif apabila menawarkan penjimatan harga terhadap 50 jenis barangan berbanding 30 jenis di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 bermula dari 15 hingga 30 April ini.

Menurutnya, perucit terlibat juga memperkenalkan pelbagai pakej yang menarik menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Program Jualan Rahmah adalah kolaborasi bersama pemain industri sektor peruncitan seperti pasar raya dan hypermarket yang menawarkan penjimatan sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa.

“Bagaimanapun terdapat pasar raya dan hypermarket yang didapati menawarkan harga Jualan Rahmah sehingga 100 jenis barangan dalam menjayakan aspirasi kerajaan dalam mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jualan Rahmah di sebuah pasar raya di Jabi dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, Salahuddin juga menyampaikan sumbangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada seramai 250 orang yang bernilai keseluruhan RM50,000.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pulai itu berkata, kerajaan berharap semua peniaga mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan di bawah SHMMP bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

“Kita sudah beri nasihat namun jika diabaikan, tiada jalan lain selain ambil tindakan perundangan. Jadi, peniaga berilah kerjasama agar hari raya dapat disambut dalam keadaan sejahtera,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya