PASIR PUTEH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menyiapkan kertas siasatan secara terperinci berkait kes penyeludupan dadah bernilai RM789.56 juta yang dilaporkan lolos dari negara ini ke Australia dalam tempoh dua minggu sebagaimana arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata, buat masa ini pihaknya tidak dapat mendedahkan hasil siasatan tersebut kepada umum.
“Pada masa sama, JKDM turut mendapatkan kerjasama pegawai atase di Kedutaan Malaysia dan kita sedang berhubung dengan mereka bagi membantu melengkapkan siasatan berkait dengan kes ini,” katanya kepada pemberita ketika pada Majlis Berbuka Puasa Pegawai Operasi Khas Bersepadu di Pejabat JKDM Tok Bali, di sini semalam.
Sementara itu, ketika diminta mengulas kemungkinan pegawai dan anggota JKDM bersubahat dalam kes penyeludupan dadah berkenaan, Sazali memberitahu, perkara tersebut masih dalam siasatan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri mengarahkan JKDM mengemukakan laporan penuh berkaitan rampasan heroin yang dilaporkan dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia.
Anwar Ibrahim mahu laporan bagaimana perkara itu berlaku dihantar kepadanya dalam tempoh dua minggu selain meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu melakukan siasatan.
Isnin lalu, PDRM mengesahkan pihak berkuasa Australia berjaya merampas dadah heroin seberat 336 kilogram yang dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.-UTUSAN