PETALING JAYA: Gandingan muda terjun negara, Elvis Priestly Clement dan Enrique Maccartney Harold semakin hampir mengesahkan tempat ke Kejohanan Dunia selepas mempamerkan aksi luar biasa dalam acara 10 meter (m) platform seirama lelaki pada Ujian Pemilihan Kebangsaan, minggu lalu.
Pasangan itu menamatkan saingan dengan pungutan 400.11 mata selepas enam terjunan, mengatasi gandingan Jared Aiden Harold-Mohd Anilrian Normatrud (340.86 mata) dan Megat Azim Hakimi-Asyraaf Haikal Asyrad (244.14 mata).
Jumlah itu bukan sahaja melepasi Skor Kelayakan Minimum (MQS) 360 mata, malah mampu meletakkan mereka di tempat keempat Kejohanan Dunia di Doha, Qatar dan keenam di Olimpik Paris sekiranya dicapai tahun lalu.
Pengarah Teknikal Terjun Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Yeoh Ken Nee berkata beliau bersama badan induk berkenaan dalam proses perbincangan sebelum memuktamadkan senarai akhir yang akan dibawa ke Kejohanan Dunia.
“Pasangan Enrique dan Elvis telah melepasi MQS lebih tiga kali, jadi mereka memang layak untuk mewakili negara ke Kejohanan Dunia.
“Namun kita tetap perlu berbincang bersama jawatankuasa terjun sebelum memuktamadkan senarai akhir ke Singapura,” kata Ken Nee.
Kejohanan Dunia dijadual berlangsung di Singapura dari 11 Julai hingga 3 Ogos ini dan dijadikan medan persiapan utama menjelang temasya besar hujung tahun.
Dalam pada itu, Ken Nee berkata, Ujian Pemilihan Kebangsaan yang berlangsung Ahad lalu berfungsi sebagai petunjuk tahap prestasi dan kecergasan semasa atlet sebelum menyertai kejohanan bertaraf dunia.
“Ujian pertengahan musim ini membolehkan kami menilai kemajuan latihan dan mengenal pasti siapa yang benar-benar bersedia bersaing di pentas antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










