KUALA PILAH: Seorang wanita maut, manakala suaminya cedera apabila terbabit dalam nahas di Kilometer 9, Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Noor Asnida Mohd. Ali, 28, beralamat di Kampung Air Panas, Gerik, Perak, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Suaminya, Mohamad Arshad Mohamad, 25, beralamat di Felda Keratong 7, Bandar Chanis, Muadzam Shah, Pahang pula mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani, berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu Mohamad Arshad hendak menghala ke Keratong dan sebuah van jenis Nissan Venette dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun dari Bahau hendak menghala ke Kuala Pilah.
“Hasil siasatan awal mendapati, apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai kenderaan Proton Wira telah hilang kawalan dan masuk ke laluan van lalu bertembung dengan kenderaan berkenaan.
“Akibat daripada kemalangan itu penumpang Proton Wira telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Amran lagi, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini bagi pengendalian bedah siasat.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Difahamkan, pemandu van yang beralamat di Kampung Bukit Laka, Bahau, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, badan dan kaki. – UTUSAN