KUALA TERENGGANU: Kebanyakan inap desa di negeri ini penuh ditempah anak perantau yang pulang ke kampung halaman sempena sambutan hari raya tahun ini.
Kebanyakan mereka menyewa inap desa kerana ingin tinggal selesa ketika beraya di kampung terutama yang mempunyai ramai ahli keluarga.
Pemilik Terengganu Trio Travel, Salina Hassan berkata, kesemua 18 rumah inap desa yang dikendalikannya habis ditempah dengan tempahan terawal dibuat tiga bulan lalu.
“Semua rumah termasuk rumah teres, villa, banglo, rumah berkembar dan kondominium memang penuh bermula Rabu lalu hingga Selasa.
“Paling awal ditempah ialah villa dengan kolam renang dan unit kondominium menjadi pilihan terakhir kerana ramai lebih suka rumah bawah.
“Walaupun permintaan tinggi, saya tidak naikkan harga penginapan iaitu antara RM250 ke RM700 satu malam bagi semua unit tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang lagi pengusaha rumah inap desa, Aishahton Ismail, 45, berkata, ramai yang masih bertanyakan tarikh kekosongan walaupun pada saat-saat akhir kerana kebanyakannya sudah penuh.
“Rasa kasihan juga apabila terpaksa menolak permintaan mereka kerana saya mendahulukan pelanggan yang membuat tempahan lebih awal dengan ada sebahagiannya membuat bayaran penuh.
“Ramai yang memilih rumah inap desa yang saya usahakan kerana terletak betul-betul di pusat bandar dan berdekatan dengan banyak lokasi menarik seperti Pasar Kedai Payang, Taman Tamadun Islam dan Kuala Terengganu City Centre,” katanya yang turut mengiklankan perkhidmatan inap desa di Facebook, Instagram, Tik Tok, YouTube dan WhatsApp.
Seorang lagi pengusaha rumah inap desa, Aminah Zahrah Abu Bakar, 51, pula berkata, dia terpaksa mengutamakan pelanggan setianya untuk penginapan pada musim perayaan kali ini walaupun mendapat permintaan tinggi daripada anak perantau yang lain.
“Sebab bila dah ada kepercayaan antara pemilik dengan penyewa berdasarkan pengalaman sebelum ini, semua urusan akan menjadi lebih mudah.
“Namun saya tetap membantu anak perantau dengan memberikan beberapa nombor telefon pengusaha yang lain untuk memudahkan mereka membuat pilihan namun kebanyakannya akan mempertimbangkan beberapa faktor seperti jarak ke rumah ibu bapa dan lokasi berdekatan pantai adalah satu bonus,” katanya yang memulakan perniagaan itu sejak 11 tahun lalu. –UTUSAN










