ALOR SETAR: Selepas dua tahun tidak dapat berjalan akibat penyakit kanser tulang rapuh atau osteogenesis imperfecta type III, impian Putri Nur Damia Danisha Abdullah, 14, untuk pulih kian menjadi kenyataan apabila jumlah wang yang diperlukan untuk menjalani pembedahan kali kelapan sudah mencukupi hasil sumbangan beberapa pihak.
Terbaharu, Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) tampil menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 bagi melengkapkan jumlah keseluruhan RM38,000 yang diperlukan Putri Nur Damia Danisha atau Putri bagi melaksanakan pembedahan tersebut.
Menurut Putri, dia sepatutnya menjalani pembedahan pada 31 Januari lalu tetapi disebabkan tidak cukup wang, hasrat itu terpaksa ditangguhkan.
“Tetapi kini wang itu sudah cukup dan saya tak sabar untuk berjumpa doktor pada 11 Mei ini di Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi membincangkan mengenai pembedahan.
“Kalau tak dapat berjalan Hari Raya Aidilfitri kali ini pun tak mengapalah, mungkin saya dapat berjalan pada Aidiladha atau setidak-tidaknya Aidilfitri tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Pengarah Negeri BSN Kedah dan Perlis, Zamri Ngah di Taman Aman, Anak Bukit, semalam.
Kepayahan hidup pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah itu mendapat perhatian umum setelah disiarkan Utusan Malaysia pada 24 Mac lalu.
Putri kini dijaga neneknya, Mariam Md. Isa, 67, selepas ibunya, Noor Amiza Badaruddin meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu perlu bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda setelah tujuh kali terjatuh dan 29 kali patah tulang akibat penyakit dialaminya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai pembedahan yang akan dijalaninya itu, Putri berkata, prosedur itu bagi menggantikan besi sedia ada yang dimasukkan ke kakinya ketika dia berusia lima tahun. – UTUSAN











