RANTAU PANJANG: Suasana di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini sesak selepas warganegara Thailand yang bekerja di negara ini mengambil peluang pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman masing-masing bermula semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kesesakan di pintu masuk ke negara jiran itu bermula pukul 8 pagi apabila mereka tiba di ICQS Rantau Panjang dengan menaiki bas dan van dari ibu kota.
Bercakap kepada Utusan Malaysia seorang warganegara Thailand, Dollah Mail, 30, berkata, dia memilih untuk pulang awal kerana kemungkinan umat Islam di negara berkenaan akan menyambut Aidilfitri hari ini.
“Saya tidak mahu terlepas peluang menunaikan solat Aidilfitri di kampung halaman.
“Pada masa sama, saya mahu memanfaatkan peluang cuti selama lima hari untuk beraya dengan sanak-saudara serta sahabat handai di kampung lebih lama,” katanya.
Dia yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan di Kuala Lumpur memberitahu akan kembali semula mencari rezeki pada hari raya keempat.
Seorang lagi rakyat Thailand Saodah Mat Rofi, 25, mengakui teruja dapat pulang semula ke negaranya selepas kali pertama bekerja di Malaysia.
“Mujur sepanjang perjalanan pulang dari Kuala Lumpur lancar walau pun ada berlaku kesesakan di Gua Musang.
“Saya tak sabar nak melepasi sempadan Malaysia-Thailand ini, tetapi hari ini agak sesak di ICQS Rantau Panjang dengan perantau pulang beraya,” ujarnya.
Sementara itu, pengusaha motosikal tambang, Abdullah Abdul Ghoni, 45, berkata, ICQS Rantau Panjang sesak sejak tiga hari lalu apabila warga negara Thailand mula pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Tidak menang tangan pengusaha motosikal tambang membawa pelanggan menyeberangi sempadan ICQS ini.
“Rezeki untuk kami, sekurang-kurangnya dapat membeli baju raya untuk anak-anak apabila pelanggan ramai sejak tiga hari ini,” katanya. – UTUSAN










