Dua lelaki bergaduh dipercayai ganggu isteri orang - Utusan Malaysia

Dua lelaki bergaduh dipercayai ganggu isteri orang

peniaga lemas

PETALING JAYA: Dua lelaki cedera selepas terlibat dalam pergaduhan dipercayai akibat mengganggu isteri orang dalam kejadian di Jalan Mutiara Raya, Cheras dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 4 pagi.

“Pergaduhan berlaku dipercayai akibat salah seorang suspek cuba mengganggu isterinya.

“Kedua-dua lelaki berusia 23 dan 32 tahun cedera parah kerana ditetak menggunakan parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, susulan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan seorang wanita warga tempatan pada 7.30 malam hari sama.

Jelasnya, wanita berusia 39 tahun dipercayai bersubahat dengan suspek utama dalam kes ini.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini.

“Orang ramai yang mempunyai berhubung suspek serta kejadian ini boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN