PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan dua juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya PLUS setiap hari sepanjang Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pada hari-hari puncak iaitu 20, 21, 24, 25, 29 dan 30 April serta 1, 4 hingga 7 Mei akan menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding jumlah trafik pada hari biasa.
“PLUS menyarankan agar orang ramai merancang perjalanan mereka dengan baik dan pulang ke kampung lebih awal bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam lonjakan trafik pada hari-hari puncak.
“PLUS sudah membuat persediaan dan mengatur pelbagai strategi merangkumi aspek keselamatan lebuh raya, pengurusan trafik dan kesesakan, pengagihan trafik, pengurusan trafik di plaza tol, pengurusan kemudahan di kawasan rehat dan hebahan maklumat trafik.
“Cadangan waktu perjalanan (TTA) untuk balik kampung dan kembali ke Lembah Klang di Lebuhraya Utara-Selatan pada 19 April hingga 1 Mei telah disediakan oleh kami.
“Bagi pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kuala Kangsar-Bukit Merah) dan Johor, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum jam 9 pagi.
“Sementara itu, bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat seperti Perak (Tanjung Malim-Ipoh), Negeri Sembilan dan Melaka dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya di antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang,” katanya dalam kenyataan media.
Zakaria berkata, TTA merupakan salah satu daripada strategi pengagihan trafik yang digunakan oleh PLUS pada musim perayaan bagi membantu orang ramai merancang perjalanan seterusnya menikmati perjalanan yang lebih selamat dan selesa.
“Bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang, pengguna lebuh raya daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.
“PLUS juga akan menghentikan sementara kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan di lebuh raya mulai 18 April hingga 1 Mei kecuali berlaku kes-kes kecemasan serta terdapat kerja pembaikan kritikal, penutupan lorong terpaksa dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya ketika musim perayaan ini.
“Untuk meningkatkan tahap keselamatan di rangkaian Lebuhraya PLUS termasuk di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), sebanyak 269 pasukan peronda lebuh raya merangkumi PLUSRonda dan LPT2Ronda ditugaskan menjalankan rondaan 24 jam sehari.
“Lebih 6,000 petugas di plaza-plaza tol, kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah dan laluan utama lebuh raya meliputi anggota peronda, pembantu khidmat pelanggan dan penyelia plaza tol, petugas Pusat Pemantauan Trafik (TMC), anggota RELA, Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) dan kakitangan penyelenggaraan akan sentiasa bersedia membantu pengguna lebuh raya.
“Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan agar menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya bagi mengelakkan terkandas di lorong tol dan memberi kesan kepada perjalanan orang lain.
“Pastikan juga baki e-Wallet (bagi transaksi RFID) dan baki kad Touch ‘n Go sentiasa mencukupi untuk perjalanan anda,” katanya. – UTUSAN