Dua hari perjalanan pulang ke Aceh

Dua hari perjalanan pulang ke Aceh

WARGA Indonesia beratur sebelum menaiki feri ke Dumai, Indonesia di Kompleks ICQS, Kota Laksamana, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebuah keluarga dari Skudai, Johor perlu menempuh perjalanan selama hampir dua hari untuk ke Aceh, Indonesia bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama ibu tercinta.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Nurul Indah Alias, 24, berkata, dia bersama adik-beradik yang lain teruja menaiki feri kali pertama dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Kota Laksamana di sini, kelmarin.

NURUL INDAH ALIAS

Katanya, perjalanan ke Aceh tidak mudah kerana perlu transit di Dumai terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan dengan menaiki bas.

“Ini kali pertama saya ke Aceh sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat. Perjalanan agak mencabar kerana kami perlu menaiki feri selama lebih dua jam dari Melaka untuk tiba di Dumai.

“Selepas itu kami akan menaiki bas ke Aceh yang memakan masa sehari perjalanan. Sebelum ini saya menaiki kapal terbang, tetapi setelah berkeluarga perkhidmatan feri menjadi pilihan kerana lebih murah.

“Harga satu tiket penerbangan lebih RM1,000 manakala tambang feri hanya RM300 lebih seorang. Mujur tiket masih ada walaupun saya hanya beli secara walk-in, kalau tidak terpaksa menunda hasrat beraya bersama ibu tahun ini,” katanya.

Tinjauan di Kompleks ICQS mendapati, warga Indonesia yang bekerja di negara ini mula beratur seawal pukul 8.45 pagi untuk pemeriksaan pasport, sebelum menaiki feri pada pukul 10 pagi.

Utusan Malaysia difahamkan, tiket feri ke Indonesia masih ada, tetapi pihak operator menggalakkan tempahan awal bagi mengelak kehabisan pada saat akhir.

Sementara itu, seorang lagi warga Indonesia, Naswardi Danius, 63, berkata, dia menempah tiket feri seminggu lebih awal untuk pulang ke Bukit Tinggi, Minangkabau.

NASWARDI DANIUS

Katanya, dia bimbang terpaksa menunda tarikh pulang ke kampung sekiranya menunggu pada saat akhir untuk membeli tiket.

“Kalau tiket habis saya terpaksa menganjak cuti ke minggu berikutnya menyebabkan terlepas raya pertama. Saya tidak mahu itu berlaku kerana sudah tiga bulan tidak pulang bertemu keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN