Drama Ramadan stereotaip?

Drama Ramadan stereotaip?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIKAN satu kebetulan apabila televisyen swasta berlumba-lumba menyajikan kisah pergolakan rumah tangga, gangguan orang ketiga dan kisah ‘penyondol’ dalam hubungan suami isteri sempena bulan Ramadan. 

Seolah-olah tiada ramuan lain yang lebih bersesuaian dijadikan sebagai skrip lakonan sekali gus memberikan variasi dalam drama yang ditampilkan kepada khalayak. 

Ramadan sebelum ini kita pernah dihidangkan dengan drama yang sarat dengan mesej kekeluargaan seperti diskriminasi dan pilih kasih seorang ibu terhadap anak, dakwah seorang ustaz terhadap pelacur serta pengalaman seorang cucu yang membesar di luar negara menyambut Ramadan di negara ini. 

Ke mana hilangnya skrip-skrip yang bagus serta rancangan yang sesuai ditonton oleh seisi ahli keluarga ketika bulan yang mulia? 

Mengulas situasi itu, pelakon berpengalaman, Chew Kin Wah berkata, stesen televisyen hanya mengejar rating dan mahukan pulangan yang menjanjikan keuntungan semata-mata. 

Sekiranya stesen televisyen menghasilkan drama biografi mengenai tokoh tertentu, katanya, ia sudah tentu dianggap tidak akan menarik minat penonton. 

“Di televisyen sekarang semua kena tayang pelakon lelaki kacak, perempuan cantik, kisah pasal perkahwinan dan rumah tangga. 

“Pihak stesen pun terpaksa cari makan dan nak dapatkan tajaan. Sebab itu, cerita lebih kurang sama sahaja disiarkan,” katanya. 

Kin Wah yang sudah menembusi pasaran Indonesia sejak 2015 berkata, industri seni tidak akan menjadi lebih kreatif sekiranya situasi tersebut berlanjutan saban tahun. 

TUNJUK KEINDAHAN ISLAM  

Pelakon, Ashraf Muslim turut berpandangan sama mengenai stesen televisyen yang akan mengambil peluang terhadap isu-isu viral atau sohor kini di media sosial sebagai bahan drama. 

Sepatutnya di bulan Ramadan, jelasnya, pihak stesen televisyen perlu mencari kandungan bermanfaat yang sesuai untuk tontonan semua lapisan masyarakat. 

“Sebenarnya di sudut hati, saya kurang berminat dengan kandungan yang boleh menjatuhkan institusi keluarga yang sedikit sebanyak boleh ‘menguruskan’ puasa kita. 

“Sepatutnya, tonjolkan tentang keindahan Islam sebab Ramadan ini datang hanya sebulan sahaja. Carilah cerita yang lebih menjaga Islam, bagusnya Islam sekali gus memberikan impak dan kesedaran yang bagus,” katanya. 

Ashraf berkata, sudah menjadi trend apabila segelintir pihak hanya menularkan sebuah klip drama di media sosial tanpa menunjukkan apakah jalan penyelesaian terhadap isu tersebut. 

“Apa yang baik orang tak akan ambil dan sepatutnya benda seperti itu perlu diceritakan dengan lebih banyak.

“Kandungan drama perlu berbeza, jangan cerita tentang rumah tangga sahaja. Ramadan ini kita nak tenang-tenang dan kurangkan melihat dosa. Stesen televisyen juga tak patut risau sebab penonton masih tonton drama pada waktu yang disiarkan,” jelasnya. 

Untuk info, TV3 menayangkan drama Melur Untuk Firdaus 2 sepanjang Ramadan bermula pukul 7 malam. 

Kisah rumah tangga Melur lakonan Anna Jobling dan Firdaus (Meerqeen) yang kembali bahagia sentiasa diuji dengan pelbagai rintangan dengan kemunculan Mawar. 

Astro pula menayangkan Andai Itu Takdirnya yang bersiaran di slot Mega Drama, pada pukul 10 malam di saluran Astro Ria. 

Drama arahan Jamal Khan mengisahkan rumah tangga lakonan Shukri Yahaya yang kerap menyeksa hidup isternya lakonan Hannah Delisha serta kehadiran orang ketiga yang menghancurkan hubungan mereka. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN